Vaksin COVID-19 diramal bawa 90 peratus penurunan kes baharu

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BANDARAYA MELAKA 25 Feb. – Pengambilan suntikan Vaksin COVID-19 dalam kalangan rakyat dijangkakan mampu menurunkan 90 peratus kes baharu dalam tempoh beberapa minggu selepas dilaksanakan secara berperingkat di negara ini.

Pakar Perubatan Dalaman Hospital Putra Melaka, Datuk Dr. Mohamad Suhaimi Mohamad Uda Tenang berkata, ia berikutan beberapa negara yang melaksanakan suntikan terbabit sejak dua minggu lalu menunjukkan perubahan mendadak terhadap kes baharu jangkitan COVID-19 yang direkodkan.

Jelasnya, seperti kes yang direkodkan di England iaitu purata 1.5 juta kes aktif setakat 24 Februari lalu dan menurun 90 peratus selepas negara itu melaksanakan suntikan vaksin dengan purata 10,000 kes baharu sehari berbanding 100,000 kes baharu pada dua minggu lalu.

“Malah kita lihat di Singapura juga telah menunjukkan penurunan selepas negara itu menerima suntikan vaksin COVID-19 dengan merekodkan hanya puluhan kes aktif.

“Jadi, kita menjangkakan kes baharu COVID-19 di negara ini akan mengalami penurunan dalam tempoh beberapa minggu lagi, yang sebelum ini merekodkan purata empat angka sehari kepada ratusan kes hasil suntikan itu,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Dr. Mohamad Suhaimi berkata, keberkesanan vaksin mampu membawa impak besar kepada perubahan baharu dalam kehidupan masyarakat yang selamat dan terhindar dari pandemik yang melanda negara hampir setahun lalu.

Katanya, masyarakat tidak perlu meragui keberkesanan suntikan vaksin itu yang terbukti 90 peratus efektif bagi membina antibodi badan untuk membunuh virus COVID-19 serta tidak mempunyai
kesan sampingan dalam jangka panjang.

“Ada pendapat mempertikaikan vaksin ini dihasilkan begitu cepat dalam tempoh setahun sedangkan beberapa penyakit lain seperti HIV Positif masih tidak menemui penawarnya.

“Kita juga perlu memandang bagaimana virus ini menular dalam masyarakat kita iaitu melalui udara dan sistem pernafasan kita dan ini memerlukan usaha keras dan efektif bagi menanganinya,” katanya.

Dr. Mohamad Suhaimi berkata kesedaran masyarakat terhadap pengambilan suntikan vaksin perlu dipertingkatkan bagi memastikan penerimaan terhadap usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

739
Kongsi :
Previous post Penghantar makanan ‘miang’ didenda RM7,000, rakam video bawah skirt wanita
Next post Muhyiddin terima suntikan dos kedua vaksin 17 Mac ini
Ubah saiz-+=