Penghantar makanan ‘miang’ didenda RM7,000, rakam video bawah skirt wanita

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

KAJANG 25 Feb – Tindakan seorang penghantar makanan merakam video dengan meletakkan telefon bimbitnya di bawah skirt seorang wanita, membawa padah apabila dia didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap Shahidan Mohammad, 46, selepas dia mengaku bersalah dan memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Shahidan didakwa melakukan kesalahan itu ke atas mangsa berusia 38 tahun di dalam lif sebuah pangsapuri di Bandar Damai Perdana, di sini, pada 9 malam, 20 Februari lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, ketika mangsa berada di dalam lif bersama tertuduh yang juga penghuni pangsapuri berkenaan, dia merasakan lelaki terbabit mencubit pahanya.

Curiga dengan tindakan lelaki itu, mangsa telah mengekori lelaki tersebut sehingga ke rumahnya dan meminta pihak pengurusan menunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum mendapati lelaki itu telah merakam video dengan meletakkan telefon bimbitnya di bawah skirt mangsa.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran mengambil kira tindakan lelaki itu jelas tidak menghormati dan mengganggu kesantunan seseorang wanita.

Peguam S.Priyalatha yang mewakili tertuduh bagaimanapun memberitahu anak guamnya memohon maaf kepada mangsa dan semua pihak serta merayu hukuman ringan kerana perlu menyara isteri yang bekerja sebagai kerani serta enam anak berusia antara lima hingga 17 tahun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

382
Kongsi :
Previous post Kenderaan boleh dinaiki penumpang walaupun dari alamat berbeza – Ismail Sabri
Next post Vaksin COVID-19 diramal bawa 90 peratus penurunan kes baharu
Ubah saiz-+=