Murid cedera ‘digesel’ kereta ketika lintas jalan

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

LENDU 26 Oktober – Seorang murid darjah 4 Sekolah Kebangsaan Durian Daun, di sini, nyaris maut apabila hampir dirempuh sebuah kereta ketika sedang melintas jalan di hadapan sekolahnya, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari, murid berkenaan bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami retak pada bahu kiri dan kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati murid berkenaan sedang melintas jalan bersama rakan-rakan lain selepas tamat sesi persekolahan.

Katanya, ketika melintas, datang sebuah kereta jenis Perodua Myvi tidak sempat membrek dan mengelak menyebabkan cermin sisi sebelah kanan keretanya bergesel terkena mangsa.

“Akibat pergeselan itu mangsa dipercayai telah terjatuh dan mengalami kecederaan di bahu dan kaki. Mangsa telah dibawa ke Hospital Alor Gajah dan kini dirawat di zon hijau.

“Hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati keadaan cuaca kering dan tidak hujan serta bentuk jalan ialah jalan lurus satu lorong dua hala dengan garisan putih berkembar serta terdapat garisan kuning lintasan pejalan kaki,” katanya.

Beliau berkata, pemandu kereta berusia 45 tahun itu telah membuat laporan di balai polis trafik pada jam 3.17 petang tadi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana gagal mengawal kenderaan hingga menyebabkan kemalangan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5315
Kongsi :
Previous post Himpunan Pembela Palestin di Melaka Ahad ini sasar 10,000 peserta
Next post Komuniti Madani penghubung kerajaan dan rakyat
Ubah saiz-+=