Sorting by

×

Komuniti Madani penghubung kerajaan dan rakyat

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 27 Oktober – Komuniti Madani bakal menjadi penghubung antara kerajaan dan rakyat khusus dalam penyaluran maklumat mengenai dasar serta aduan mengenai sebarang permasalahan.

Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPeN) Negeri Melaka, Shahrom Ravin Daram Abdullah berkata, penubuhan Komuniti Madani juga bakal menjadikan penyaluran maklumat lebih pantas selain mengelakkan berlakunya keciciran.

“Selepas ini aduan atau masalah boleh disalurkan kepada JaPeN menerusi Komuniti Madani, kemudian diangkat ke peringkat lebih tinggi bagi mendapat maklum balas menteri yang berkaitan.

“Kita akan mendapatkan input daripada orang ‘berpengaruh’ (Komuniti Madani) ini. Jika tidak dapat turun ke lapangan kita hanya perlu berhubung dengan Komuniti Madani untuk dapatkan maklumat tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Semarak Gemilang 2023 Jabatan Penerangan Malaysia (JaPeN) Melaka yang dirasmikan oleh Exco Sains, Inovasi, Teknologi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan di sebuah restoran, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem serta Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat JaPeN, Erwin Khairul Ahmad.

Shahrom Ravin, JaPeN akan memperkemaskan organisasi Komuniti Madani dengan menyelesaikan pelantikan pengerusi dan ahli jawatankuasa yang layak untuk memegang jawatan itu menjelang hujung tahun .

Jelasnya sehingga hujung tahun ini JaPeN mensasarkan 84 Komuniti Madani mula beroperasi di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka.

“Kita akan pastikan semua komuniti ini ditubuhkan sepenuhnya pada hujung tahun ini dan setiap DUN akan ada tiga Komuniti Madani,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1129
Kongsi :
Previous post Murid cedera ‘digesel’ kereta ketika lintas jalan
Next post Sasar 100 peratus sekolah di Melaka tubuh Kelab Rukun Negara
Ubah saiz-+=