Sorting by

×

Musim ribut selatan bawa sampah ke pantai peranginan

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

TANJUNG BIDARA 15 Sept. – Musim ribut selatan yang lazimnya membawa sampah-sarap dari kawasan lain ke pantai peranginan di perairan Melaka Barat muncul lagi sejak kelmarin.

Angin kencang dari arah selatan menyebabkan botol plastik, plastik, tin minuman, ranting pokok dan seumpamanya dihanyutkan ke pantai berkenaan dan sedikit mengotori pantai ketika air pasang berubah menjadi surut.

Nelayan, Othman Ibrahim, 63, berkata angin kencang dari arah selatan yang lazimnya bertiup dari September hingga Oktober menyebabkan sampah-sarap dari perairan lain dihanyutkan ke pantai berkenaan.

“Sampah-sarap di pantai peranginan Padang Kemunting dihanyutkan ke Pengkalan Balak dan sampah-sarap di Pengkalan Balak pula dibawa ke pantai Kuala Sungai Baru dan begitu jugalah seterusnya hingga ke Kuala Linggi.

“Angin ribut selatan bersifat mengorek pasir pantai yang menyebabkan berlakunya hakisan, selain memindahkan sampah-sarap dari satu kawasan ke kawasan lain,” katanya ketika ditemui di pantai peranginan Pengkalan Balak, di sini hari ini.

Othman bagaimanapun berkata, sampah-sarap yang terdampar di pantai lazimnya akan dibawa semula ke tengah laut apabila musim ribut barat melanda yang lazimnya bertiup dari Oktober hingga Disember.

Perubahan punca arah angin itu menyebabkan pantai berkenaan ada ketikanya bersih daripada sampah-sarap dan ada kalanya juga dipenuhi sampah tetapi ia bukan bermakna sampah-sarap berkenaan sengaja dibuang pengunjung pantai.

“Dalam ribuan pengunjung pantai peranginan ini, sudah tentu ada yang kurang disiplin membuang sampah merata-rata tempat tetapi setakat ini, secara keseluruhannya pantai peranginan ini masih bebas daripada gejala negatif seumpama itu,” katanya.

Sehubungan itu, Othman mengambil inisiatif mengutip sampah-sarap berkenaan untuk dibuang ke dalam tong sampah besar disediakan syarikat pemegang konsesi pembersihan, SWM Environment Sdn Bhd di tepi jalan pantai berkenaan.

Katanya, beliau ‘tidak seronok’ melihat pangkalan perahu dan peralatan menangkap ikannya di pantai berkenaan dipenuhi sampah-sarap yang menyebabkan imej nelayan terjejas dari perspektif pelancong.

Walaupun membuat ‘kerja tidak bergaji,’ Othman tetap sabar dan komited untuk melakukannya bagi membantu memelihara kebersihan pantai, sekali gus memelihara imej nelayan.

Katanya, kerja berkenaan harus dilakukan kerana musim ribut barat yang lazimnya membawa semula sampah sarap itu ke tengah laut, masih lama lagi untuk muncul.

Beliau berharap usaha yang sedikit itu mampu membantu menjaga keindahan pantai Pengkalan Balak yang diiktiraf sebagai satu daripada pantai peranginan utama di negeri ini selain Pantai Puteri di Tanjung Kling dan Pantai Tanjung Bidara serta Kuala Sungai Baru, di sini.
Pix 1-7: Othman Ibrahim, 63, mengutip sampah-sarap yang dibawa angin kencang dari arah selatan di pantai peranginan Pengkalan Balak, dekat Alor Gajah.
– Foto DIN AHMAD

Views:

578
Kongsi :
Previous post Sesi ‘townhall’ perlu dianjur di peringkat akar umbi
Next post Tindakan pantas MBMB tebang pokok tumbang
Ubah saiz-+=