Mustahil, sungai kotor berpunca dari aktiviti penternakan

Masa Membaca:2 Minit, 27 Saat

PAYA RUMPUT 21 Februari – “Kalau dilihat warna air yang hitam ini berserta bau dan kehadiran ulat sampah, mustahil ia berpunca daripada najis haiwan ternakan,” itu kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Paya Rumput Hilir, Mohamad Abdul Rahman.

Menurut Mohamad, isu pencemaran air sungai dan parit di kawasan sekitar termasuk Kampung Bukit Berlian, sudah berlarutan sejak sekian lama namun ianya masih berulang dan kini apa yang membuatkan keadaan ‘tidak selesa’ apabila dikatakan berpunca daripada aktiviti ternakan.

Katanya, meskipun dimaklumkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah mengambil sampel air dikawasan pencemaran dan mendapat hasilnya namun ianya agak mustahil dan siasatan secara mendalam serta menyeluruh termasuk sampel dari mana punca awal air itu mengalir perlu dilakukan.

“Saya boleh katakan ia bukan berpunca daripada aktiviti ternakan kerana sekitar kawasan ini hanya terdapat kira-kira 90 ekor lembu sahaja, mustahil air kumbahan najis haiwan ini begitu banyak hingga ke Sungai Lereh.

“Seperti hari ini, tinjauan di lokasi berdekatan sawah dan kawasan ternakan kita dapati air kumbahan daripada najis haiwan warnanya lain berbanding keadaan air bewarna hitam yang diambil berdekatan dengan kawasan sawah padi.

“Saya beranggapan pencemaran air yang berlaku di Sungai Lereh sehingga ke kawasan ini dipercayai daripada sisa kumbahan tapak pelupusan sampah di Sungai Udang, yang dilepaskan,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Berlian, hari ini.

Menurutnya, susulan daripada pencemaran itu juga, kira-kira 35 petani di kawasan itu terpaksa menanggung kerugian apabila ada hasil cucuk tanam dan sawah padi yang diusahakan tidak dapat dituai.

“Apabila air kotor ini mengalir hingga ke parit berdekatan sawah dan kebun, lalu terkena tanaman ia menyebabkan tanaman mati malah di kawasan itu juga tiada ikan yang dapat hidup kerana keadaan air yang amat kotor.

“Malah saya sendiri beberapa tahun lepas mengalami kerugian yang banyak apabila padi yang diusahakan kira-kira lapan hektar tidak dapat dituai kerana masalah air yang busuk.

“Oleh itu, saya amat berharap tindakan menyeluruh dan segera dapat diambil pihak berkaitan termasuk JAS bagi menyelesaikan isu ini,” katanya.

Bagi petani Shafie Abd Rahman, 55, pula berkata, pencemaran air yang berlaku itu amat memberi kesan kepada petani apabila air di kawasan parit berdekatan tidak dapat digunakan untuk aktiviti tanaman.

“Walaupun kebun kami berdekatan dengan parit tetapi kita dapat boleh jadikan ia sumber malah, petani perlu berjaga-jaga bagi memastikan air dari parit tidak terkena tanaman, jika tidak tumbuhan akan mati.

“Kami amat berharap isu ini dipandang serius oleh pihak berwajib, kami orang kampung, bukannya senang kalau tanaman diusahakan tidak mengeluarkan hasil atau rosak dengan siapa untuk kami tuntut ganti rugi jadi selesaikan dan dapatkan punca sebenar dari mana pencemaran ini berlaku,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, pencemaran Sungai Lereh yang berlaku adalah dipercayai berpunca daripada pembuangan sisa kumbahan aktiviti penternakan lembu dan kambing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelebang Datuk Lim Ban Hong berkata ia hasil siasatan awal Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka yang mengambil sampel air sungai berkenaan selepas menerima aduan daripada penduduk setempat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2312
Kongsi :
Previous post Tiga beradik jadi ‘transporter’ dadah, tonto ditahan bersama 150 kg syabu
Next post Pencemaran Sungai Lereh: SWCorp tunggu keputusan lengkap JAS
Ubah saiz-+=