Sorting by

×

MY PRIDE FAIR BAWAKAN PRODUK ISTIMEWA ‘DARI TIRAI BESI’

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

PENGKALAN BATU 24 Oktober – Karnival My Pride Fair Zon Selatan 2025 yang berlangsung selama lima hari hingga Ahad ini menjadi antara platform digunakan Jabatan Penjara Malaysia untuk memasarkan produk atau kraftangan hasil air tangan prospek penjara kepada masyarakat luar.

Ketua Bahagian Parol, Penjara Negeri Melaka, Penguasa Penjara Norul Hisyam Ismail berkata, penganjuran karnival jualan itu dilakukan setiap tahun oleh Jabatan Penjara Malaysia di kesemua lima zon seluruh negara.

“Karnival My Pride Fair ini melibatkan hasil air tangan penghuni penjara merangkumi produk makanan sejuk beku, kudapan, kerepek, kraftangan, pembuatan dan fabrik.

“Untuk penganjuran My Pride Fair ini ia merangkumi lima zon iaitu Zon Timur, Zon Tengah, Zon Selatan, Zon Sabah dan Zon Sarawak.

“Untuk peringkat Zon Selatan ini, fokus kita kepada produk dari penjara dari Melaka dan Johor namun pada masa sama turut dibawakan produk popular dari beberapa penjara lain seperti karipap pusing sejuk beku yang tular dari Penjara Wanita Kajang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian My Pride Fair Zon Selatan 2025 yang disempurnakan Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil dengan diiringi Pengarah Penjara Negeri Melaka, Timbalan Komisioner Penjara (TKP) Rosman Norman@Normin, di sebuah pusat beli belah, di sini, semalam.

Menurut Norul Hisyam, selain membawakan produk hasil air tangan prospek penjara, Unit Parol Jabatan Penjara turut mempromosikan tenaga kerja kepada majikan yang berminat.

“Pastinya di karnival jualan ini harga yang ditawarkan lebih rendah dari pasaran dan menariknya juga kami turut tawarkan potongan harga sehingga 70 peratus keatas produk-produk terpilih menerusi jualan ‘happy hour’.

“Untuk lima hari penganjuran karnival ini kita anggarkan nilai jualan sebanyak RM80,000 selain pada Sabtu dan Ahad lebih banyak produk akan dibawa untuk jualan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

475
Kongsi :
Previous post JKM KESAN WARIS THEVANESH
Next post KUM PERLUAS PROJEK INFRASTRUKTUR BAWAH TANAH TAHUN HADAPAN