Naik Menara Taming Sari dengan Pakej Keluarga lebih jimat

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

BANDA HILIR 22 Februari – Tiket kombo Pakej Keluarga yang menawarkan diskaun potongan 13 hingga 15 peratus di empat lokasi pelancongan negeri termasuk Menara Taming Sari mampu memberi penjimatan kepada pelancong yang datang ke Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Berhad (MTSB), Nasrul Ahmad berkata, menara itu antara empat lokasi yang ditawarkan dalam pakej terbabit selain Melaka River Cruise (MRC), Zoo Melaka dan muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).

Katanya, pakej pelancongan terbabit ditawarkan dengan satu harga kepada kumpulan pelancong yang berkunjung ke negeri ini.

“Pakej ini khususnya dibuka buat pelancong yang datang dengan skala yang ramai seperti rombongan atau dalam bentuk kumpulan daripada agensi pelancongan dan perhotelan.

“Diskaun 13 peratus bagi dewasa dan 15 peratus bagi kanak-kanak akan ditawarkkan kepada mana-mana kumpulan pelancong yang ingin melawat ke empat lokasi pelancongan ini.

“Peluang yang dibuka sejak September tahun lalu ditawarkan sepanjang tahun sehingga Disember tahun ini sebagai menambah daya tarikan pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi mana-mana kumpulan pelancong yang berminat dengan tawaran berkenaan perlu menghubungi pegawai pemasaran di mana-mana empat agensi terbabit untuk melakukan tempahan.

“Tawaran ini tidak akan dibuka di mana-mana kaunter tetapi perlu menghubungi pegawai pemasaran terlibat untuk membuat tempahan bagi mendapatkan diskaun ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

643
Kongsi :
Previous post Suasana pilu selubungi Istiadat Penghormatan negeri Abdul Taib di DUN Sarawak
Next post Jangan taasub pada mana-mana individu
Ubah saiz-+=