Najib mohon tangguh rayuan berkaitan bukti baharu dalam kes melibatkan dana SRC

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

PUTRAJAYA, 28 Feb – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memohon menangguhkan prosiding rayuan berkaitan bukti baharu dalam usahanya untuk mengetepikan sabitan dalam kes melibatkan dana SRC International Sdn Bhd, yang dijadualkan pada 15 dan 16 Mac di Mahkamah Persekutuan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul yang mengesahkan perkara itu berkata peguam Najib telah menghantar surat kepada Mahkamah Persekutuan untuk meminta tarikh perbicaraan rayuan itu dilapangkan.

“Pasukan pembelaan memohon penangguhan kerana mereka masih berusaha mendapatkan semua nota, bukti dan dokumen daripada perbicaraan SRC di Mahkamah Tinggi, untuk menyediakan penghujahan bertulis bagi rayuan bukti tambahan itu.

“Bagaimanapun, mahkamah akan memaklumkan secara rasmi keputusan (penangguhan) kepada pihak-pihak terlibat dalam beberapa hari lagi,” katanya kepada media selepas prosiding secara maya yang dijalankan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Siti Hajar Mustaffa.

Beliau berkata mahkamah menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 8 April untuk peguam Najib mengesahkan tarikh permohonan Peguam Diraja (QC) akan dibuat.

Pada 25 Jan, 2022, firma guaman Tetuan Shafee & Co menghantar sepucuk surat enam halaman kepada sekretariat Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berhubung hasrat Najib untuk melantik QC dari United Kingdom bagi membantu bekas perdana menteri itu dalam isu dan persoalan perundangan yang kompleks dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan.

Pada 7 Dis 2021, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu bagi rayuannya dengan memutuskan bahawa Najib gagal memenuhi Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman secara kumulatif bahawa bukti baharu diperlukan untuk keadilan dalam kes itu.

Sehari selepas itu, mahkamah sama mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

Najib kemudiannya memfailkan notis rayuan dke Mahkamah Persekutuan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1130
Kongsi :
Previous post PRN Johor: Naratif ‘kluster mahkamah’ tidak jejas peluang BN – Mohamad Hasan
Next post Remaja 15 tahun korban pertama banjir di Terengganu
Ubah saiz-+=