Remaja 15 tahun korban pertama banjir di Terengganu

Masa Membaca:57 Saat

KUALA TERENGGANU, 28 Feb – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun menjadi korban pertama banjir di Terengganu setelah ditemukan lemas berhampiran rumahnya di Kampung Cheneh Baru di Kemaman kira-kira 3 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata sebelum ditemukan lemas, mangsa Muhammad Alimi Hashim, 15, dikatakan bermain air banjir di halaman rumahnya bersama dua adik beradiknya.

“Tiba-tiba mereka sedar mangsa hilang lalu memberitahu keluarga sebelum mencari dan terjumpa mangsa yang pada masa itu sudah lemas. Orang awam kemudian menghubungi pihak polis,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Menurutnya, kawasan rumah mangsa dinaiki air sedalam kira-kira satu meter.

Beliau berkata mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Dalam pada itu, Hanyan menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan mengingatkan ibu bapa agar memantau anak-anak mereka kerana walaupun air cetek keadaan tetap berbahaya.

“Saya juga ingin menasihatkan penjala dan pemancing tegar, nak cari ikan dalam musim banjir ini pergilah, tapi tolonglah pakai jaket keselamatan. Perkara ini sudah banyak kali diingatkan pihak berkuasa …tolong jaga keselamatan masing-masing di musim banjir ini,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1385
Kongsi :
Previous post Najib mohon tangguh rayuan berkaitan bukti baharu dalam kes melibatkan dana SRC
Next post Cuaca: Agensi pelancongan, pelancong diminta waspada – Nancy
Ubah saiz-+=