“Nak ke mana hujung minggu ni?” – KP Kesihatan

Masa Membaca:3 Minit, 8 Saat

KUALA LUMPUR 29 Mei – Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di seluruh negara bermula 1 Jun dan pagi ini, kesesakan lalu lintas dilaporkan di laluan menghala ke pantai timur dan selatan.

Gambar kesesakan itu tular di media sosial dan menarik perhatian Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang menegur tindakan orang ramai kerana masih melakukan perjalanan walaupun arahan larangan rentas daerah dan negeri masih berkuat kuasa.

Dr Noor Hisham turut memuat naik dua keping gambar di akaun Facebook beliau iaitu keadaan trafik dari ibu negara menghala ke pantai timur di Plaza Tol Gombak pada 10.20 pagi ini dan di Plaza Tol Sungai Besi di Lebuhraya Utara Selatan pada 10.30 pagi, yang menyaksikan deretan kenderaan yang panjang.

DERETAN kenderaan di Plaza Tol Sungai Besi di Lebuhraya Utara Selatan pada 10.30 pagi tadi. Foto FB Dr Noor Hisham.

“Ke manakah arah tujuan anda pada hujung minggu ini? Pergerakan besar-besaran masih berlaku walaupun larangan merentas daerah dan negeri telah dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata membawa jangkitan wabak dari satu kawasan ke kawasan lain tidak akan membantu dalam usaha membendung penularan jangkitan virus COVID-19.

“Duduklah di rumah dan hanya keluar jika ada urusan penting. Bantulah selamatkan sistem kesihatan negara yang bakal lumpuh sekiranya peningkatan COVID-19 tidak terkawal.

“Sekiranya kami (petugas kesihatan) rebah, anda dan ahli keluarga anda mungkin tidak akan menerima rawatan kesihatan yang sebaiknya. Jika lebih malang, tiada lagi katil untuk anda di hospital. Apatah lagi jika anda tenat dan kritikal tetapi katil ICU (Unit Rawatan Rapi) sudah penuh semuanya.

“Petugas barisan hadapan sudah penat. Tapi kami masih gagahi demi menyelamatkan nyawa anda,” katanya.

Dalam tempoh 55 minit catatan itu dibuat, ia dikongsi oleh lebih 5,000 pengguna Facebook dan mendapat hampir 3,000 komen yang antara lain menyifatkan mereka yang berada di jalan raya sebagai degil, tidak membantu pasukan petugas kesihatan negara serta wajar dikenakan tindakan.

“Degil betullah,” komen seorang pengguna Facebook Cindy Lim sementara seorang lagi pengguna media sosial sama Nur Azielah Yahaya melahirkan rasa simpati kepada petugas barisan hadapan negara yang terpaksa berdepan dengan kedegilan segelintir rakyat Malaysia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kesesakan sehingga dua kilometer di Plaza Tol Gombak menuju Bentong, Pahang yang tular di media sosial hari ini adalah disebabkan polis melakukan pemeriksaan sekatan jalan raya yang teliti di laluan keluar dari ibu kota.

Beliau berkata kesesakan berlaku kerana terdapat banyak kenderaan yang mempunyai urusan kerja serta surat kebenaran daripada majikan untuk merentas negeri dan setakat ini, 12 individu diarah berpatah balik kerana tidak mempunyai alasan kukuh serta surat kebenaran untuk merentas negeri.

“Ada surat daripada majikan dan polis namun tiada dokumen sokongan misalnya memberikan alasan bekerja tapi surat terlalu umum seperti tarikh penugasan tidak dinyatakan… ada juga yang dapat kebenaran polis untuk akad nikah tetapi tarikh akad nikah tidak dinyatakan dalam surat sokongan. Itu yang diarah patah balik,” katanya kepada Bernama.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya pula berkata, majoriti pengguna jalan raya di Plaza Tol Sungai Besi dan Plaza Tol Jalan Duta mempunyai surat kebenaran daripada majikan atas alasan bekerja.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menerusi akaun Twitter beliau meminta petugas barisan hadapan kesihatan terus cekal dan tabah dalam perjuangan mereka memerangi COVID-19.

“Kepada semua petugas barisan hadapan, meskipun kita sudah lama tidak dapat tidur lena pada sebelah malam dan mengalami keletihan yang kronik, marilah kita ketepikan kesedihan kita, kembali bersemangat, terus pandang ke hadapan dan bersiap siaga untuk bertempur lagi dengan COVID-19,” katanya.

Dalam tempoh sejam, ciapan beliau diulang ciap lebih 3,000 kali dan menerima ratusan kata-kata semangat daripada pengguna Twitter.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

392
Kongsi :
Previous post Sekatan pergerakan penuh: Lebih 800 SJR, 70,000 anggota polis dan agensi KDN ditugaskan
Next post Wartawan diharap terus tabah laksana tugas ketika penularan COVID-19
Ubah saiz-+=