Neelofa, suami hadir bagi prosiding langgar SOP PKPB di Kompleks Mahkamah Seremban

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

SEREMBAN 20 Mei.- Selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail hadir di Kompleks Mahkamah Seremban di sini, sebentar tadi bagi prosiding berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditularkan di media sosial.

Berdasarkan lintas langsung Sinar Harian, pasangan berpakaian sedondon serba putih dan coklat itu tiba dengan kenderaan BMW kira-kira jam 9 pagi.

Bagaimanapun, kenderaan mereka tidak dibenarkan pada awalnya untuk memasuki pekarangan kompleks mahkamah dan terpaksa dipakir di tepi jalan.

NEELOFA dan suami selesai mengimbas suhu. Foto tangkap layar video Sinar Harian.

Neelofa dan Muhammad Haris kemudian kelihatan berjalan ke pondok pengawal untuk mengimbas Kod MySejahtera dan suhu badan sebelum menaiki semula kenderaan mereka.

Sejurus itu barulah kenderaan mereka dibenar memasuki ke pekarangan kompleks mahkamah untuk mengikuti prosiding.

Berdasarkan kenyataan Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman, semalam, pasangan itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Seremban mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (kawalan pergerakan bersyarat) (no.4) (pindaan) (no.12) 2021.

Muhammad Haris berdepan dua pertuduhan iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam seperti ditetapkan dalam SOP PKPB.

Noor Neelofa pula akan didakwa gagal mematuhi SOP PKPB kerana tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk (check-in) di premis atau menulis secara manual.

Sementara itu, sekumpulan media berkampung di pekarangan mahkamah untuk merakam gambar pasangan selebriti popular itu sejak 7.30 pagi.

Difahamkan pihak media dibenarkan untuk mengikuti prosiding di dalam mahkamah dan akan diberikan pautan khas untuk mendengar pertuduhan yang dibacakan terhadap pasangan itu.

Pada 2 Mei lalu Noor Neelofa memuat naik gambar dan video dia bersama suami berada di sebuah kedai karpet di Nilai dekat sini dan dua hari selepas itu, kedua-duanya hadir memberi keterangan selama empat jam di Ibu Pejabat Daerah Polis Nilai.

Berita lanjut menyusul.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

617
Kongsi :
Previous post DPS akan laksana projek pembangunan bernilai RM150 juta di Melaka
Next post JAIM tutup sementara operasi kaunter Kursus Praperkahwinan
Ubah saiz-+=