Nelayan merintih sewaan bot pancing udang berkurangan

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat
KHAIRUL Ridzuan mengemudi perahu gentian kaca untuk membawa kaki pancing mencuba nasib di Jeti Nelayan Kampung Paya Lebar, Lubok Cina dekat Alor Gajah. – Foto Din Ahmad

AYER LIMAU 6 Ogos – Jumlah sewaan perahu nelayan oleh kaki pancing udang galah yang semakin berkurangan berikutan aktiviti mengorek pasir Sungai Rembau, Lubok Cina di sini, menyebabkan nelayan merintih.

Nelayan terpaksa menelan kepahitan berikutan kemerosotan sewaan akibat kekurangan udang galah berikutan aktiviti mengorek pasir sungai.

Sejak empat bulan lalu mereka hanya memperoleh antara satu atau dua kali sewaan dalam sebulan berbanding enam hingga tujuh kali sewaan sebulan sebelum itu, berikutan jumlah tangkapan udang galah yang makin kurang akibat aktiviti berkenaan.

Johari Ismail, 57, mendakwa kebanyakan nelayan terpaksa menempuh kesukaran untuk mendapatkan sewaan daripada kaki pancing udang galah selepas jumlah udang galah yang berjaya dipancing menurun dari semasa ke semasa.

“Kadang kala kami tidak dapat langsung sewaan dalam sebulan kerana mereka ‘merajuk’ dengan kekurangan udang galah yang berjaya dipancing berbanding keadaan sebelum pasir sungai dikorek.

“Kami mengharapkan sewaan antara RM200 hingga RM220 sebagai sumber pendapatan tambahan, selain tugas hakiki kami sebagai nelayan tetapi sejak projek mengorek pasir dijalankan, udang semakin berkurangan.

“Kepada siapa kami hendak mengadu sedangkan sumber pendapatan kami semakin terancam dan kami berharap pihak berkuasa mampu menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Kampung Paya Lebar, Lubok Cina hari ini.

Beliau mendakwa, sepanjang bulan lalu beliau hanya memperoleh sekali sewaan kaki pancing dari Kuala Lumpur tetapi beliau terkilan kerana mereka tidak memperoleh hasil tangkapan yang menggembirakan berikutan udang galah kian berkurangan.

Khairul Ridzuan Ramlan, 32, mendakwa sebelum projek mengorek pasir sungai dijalankan, beliau tidak menang tangan untuk membawa kaki pancing mencuba nasib di Sungai Rembau, Sungai Ramuan Cina dan Kuala Linggi.

“Bagaimanapun, sejak kerja itu dijalankan, semakin sukar untuk saya menerima sewaan daripada kaki pancing yang kebanyakan mereka dari Kuala Lumpur, Putrajaya, Seremban, Nilai dan Petaling Jaya,” katanya.

Oleh sebab tiada penyewa bot pada hujung minggu, beliau terpaksa turun ke sungai untuk mencari rezeki yang turut terjejas berikutan aktiviti berkenaan dan beliau berharap kerajaan mampu membantu mengatasi masalah itu.

Katanya, setiap kali kaki pancing yang dibawa pulang ke jeti tanpa hasil yang membanggakan, beliau berasa sedih dan bersalah kerana membawa mereka memancing di habitat udang galah yang sudah terganggu akibat pengorekan pasir sungai.

Bagaimanpun, kebanyakan kaki pancing memahami keadaan semasa dan tidak menyalahkan pemilik perahu walaupun terpaksa pulang dengan tangan kosong, katanya.

Views:

456
Kongsi :
Previous post PSMCM sokong tukar nama Bukit St Paul
Next post Hampir 200,000 OKU terima manfaat PRIHATIN
Ubah saiz-+=