Hampir 200,000 OKU terima manfaat PRIHATIN

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Sehingga kini, hampir 200,000 orang kelainan upaya (OKU) menerima manfaat daripada peruntukan sebanyak RM25 juta melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mac lepas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata mereka adalah 87,910 penerima Elaun Pekerja Cacat (EPC), 75,722 penerima bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja dan 26,368 penerima bantuan Penjagaan OKU Terlantar atau Pesakit Kronik Terlantar.

“Untuk fasa 1 ini, kita telah melihat bagaimana peruntukan itu dimanfaatkan kepada golongan sasar dengan nilai RM185,770. Baki RM1.92 juta akan dibayar kepada mereka selewat-lewatnya 31 Ogos ini,” katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Siti Zailah berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang ingin tahu jumlah penerima bantuan PRIHATIN yang disasarkan kepada golongan mudah terjejas akibat pandemik COVID-19.

Kepada soalan asal Muhammad Bakhtiar mengenai bantuan kepada golongan OKU yang terjejas apabila tidak dapat menjalankan perkhidmatan urut dan refleksologi, beliau berkata pihaknya bekerjasama dengan Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta Malaysia menyediakan draf prosedur operasi standard (SOP) pembukaan perkhidmatan urut dan refleksologi kendalian juru urut OKU penglihatan dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan.

Menurutnya, walaupun kerajaan tidak menyediakan bantuan khusus kepada golongan itu, namun pelbagai insentif diberikan iaitu EPC sebanyak RM400 sebulan kepada golongan OKU penglihatan yang terlibat dalam perkhidmatan urut dan refleksologi dengan pendapatan di bawah RM1,200 sebulan.

“Kerajaan turut menyediakan bantuan bakul makanan dan memperkenal insentif khusus berbentuk Bantuan Khas menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang turut memberi manfaat kepada golongan OKU,” katanya.

Siti Zailah berkata sehingga semalam, seramai 185,770 OKU menerima Bantuan Khas tersebut dengan jumlah peruntukan sebanyak RM55.7 juta.

Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang dalam proses pembayaran fasa kedua kepada 4,230 penerima baharu dengan peruntukan sebanyak RM1.3 juta dan akan dibayar selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Selain itu katanya, kerajaan memperkenalkan insentif PENJANA Kerjaya di bawah kategori Insentif Pengambilan Pekerja yang menggajikan pencari kerja tempatan dalam kalangan golongan mudah terjejas termasuk OKU serta peserta program ‘Return to Work’ Pertubuhan Keselamatan Sosial.

“Melalui insentif ini, bayaran RM1,000 dibayar kepada majikan sekiranya mereka mengambil golongan OKU bekerja dan menepati beberapa syarat permohonan yang ditetapkan,” kata Siti Zailah.- BERNAMA

 

Views:

255
Kongsi :
Previous post Nelayan merintih sewaan bot pancing udang berkurangan
Next post Melaka komited kekalkan negeri hijau bebas pandemik
Ubah saiz-+=