Sorting by

×

SAMBUTAN MINGGU PERPADUAN ZON SELATAN ANGKAT KEKUATAN 3 NEGERI

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BANDA HILIR 10 Mei – Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) tahun ini tampil dengan kelainan apabila dilaksanakan mengikut zon dengan melibatkan beberapa negeri dalam usaha memperkukuh integrasi serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pendekatan diambil Kementerian Perpaduan itu membolehkan lebih ramai rakyat daripada pelbagai latar belakang budaya, bangsa dan agama hadir dalam suasana harmoni menerusi pelbagai pengisian yang disediakan.

Beliau Berkata, sebanyak enam zon akan terlibat menjadi lokasi penganjuran SMP antaranya Melaka bagi Zon Selatan sebelum acara peringkat kebangsaan akan diadakan di Kota Kinabalu.

“Kementerian berharap daripada sambutan ini kita dapat membawa rakyat dari pelbagai bangsa, budaya, bahasa dan sebagainya untuk bersama-sama berada di satu tempat untuk kita bersantai, bersukan dan memperkukuh kebersamaan.

“Misalnya penganjuran di peringkat Zon Selatan ini ia mencerminkan kepelbagaian budaya dan warisan negara yang mana tiga negeri, tiga kekuatan yang disatukan dalam semangat perpaduan nasional.

“Sambutan ini juga berperanan sebagai sebuah ‘shared civic space’ atau ‘site of intersection’ iaitu ruang pertemuan yang menyatukan rakyat pelbagai etnik, budaya, bangsa dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Zon Selatan 2026 Dan Arkib Komuniti Peringkat Kebangsaan di Dataran Memorial Pengisytiharan  Kemerdekaan, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Siti Faizah Abdul Azis serta lain-lain kenamaan.

Menurut Aaron, pihak kementerian berharap program berkenaan dapat diteruskan pada masa akan datang berikutan sambutan dan keberkesanannya dalam menyatukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Bagi kementerian kita mengadakan program ini untuk menyatu padukan rakyat. Oleh itu bagi melihat keberkesanan setiap kali selepas penganjuran akan diadakan kajian atau analisis mengambil kira sambutan, penerimaan, penyertaan pihak berkaitan seperti badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan termasuk penglibatan orang ramai.

“Daripada itu kita melihat terdapat peningkatan pada setiap tahun dan memasuki tahun keempat pelaksanaan ia berkembang dengan cukup meriah serta mendapat sambutan luar biasa malah pada sambutan peringkat kebangsaan di Pulau Pinang tahun lalu berjaya menarik kehadiran lebih 210,000 pengunjung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

564
Kongsi :
Previous post WARTAWAN DAHULU TIDAK DIPANDANG, KINI SUDAH JADI KEBANGGAAN
Next post 34 SEKOLAH PARLIMEN HANG TUAH JAYA TERIMA RM127,000 NAIK TARAF PRASARANA