Sorting by

×

34 SEKOLAH PARLIMEN HANG TUAH JAYA TERIMA RM127,000 NAIK TARAF PRASARANA

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 10 Mei – Sebanyak 34 sekolah dalam Parlimen Hang Tuah Jaya menerima peruntukan keseluruhan RM127,000 bagi menaik taraf prasarana dan kemudahan untuk memastikan persekitaran pembelajaran lebih kondusif.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Adam Adli Abd Halim berkata, bantuan tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan tiada sekolah tercicir daripada menerima manfaat pembangunan pendidikan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi memaklumkan, daripada jumlah itu 23 sekolah rendah menerima sumbangan RM3,000 dan 11 sekolah menengah menerima RM5,000 setiap satu.

“Selain itu, bantuan khas turut disalurkan kepada Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Bukit Katil sebanyak RM10,000 bagi perolehan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Turut menerima bantuan khas ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Syed Ahmad Shahabudin sebanyak RM15,000 bagi kos menaik taraf dewan sekolah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri  Majlis Sumbangan Prasarana Sekolah dan Anugerah Pelajar Cemerlang Hang Tuah Jaya yang disempurnakan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil di sebuah hotel, di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Adam Adli berkata, pelaburan terhadap kemudahan pendidikan merupakan langkah penting dalam melahirkan generasi masa depan yang lebih berdaya saing.

“Pelaburan terbaik untuk masa depan negara bermula dengan penyediaan ekosistem pendidikan yang lengkap dan inklusif.

“Kita mahu memastikan tiada sekolah tertinggal daripada bantuan prasarana serta semua pelajar mendapat akses kepada kemudahan pembelajaran lebih baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1111
Kongsi :
Previous post SAMBUTAN MINGGU PERPADUAN ZON SELATAN ANGKAT KEKUATAN 3 NEGERI
Next post WARISAN SILANG BUDAYA MODEL PERPADUAN HIDUP