Sorting by

×

WARISAN SILANG BUDAYA MODEL PERPADUAN HIDUP

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

BANDA HILIR 10 Mei – Kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Perpaduan dan Kerajaan Negeri dalam menjayakan Sambutan Minggu Perpaduan 2026 dilihat sebagai manifestasi kesepakatan kepimpinan dalam memastikan keharmonian rakyat terus dipelihara.

Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Siti Faizah  Abdul Azis berkata, kolaborasi padu itu bukan sahaja memperkasakan semangat perpaduan di peringkat akar umbi, malah mencerminkan kesatuan tekad pimpinan dalam memastikan Malaysia terus makmur dan stabil sebagai sebuah keluarga besar yang utuh.

“Sinergi erat ini membuktikan bahawa keharmonian rakyat adalah agenda rentas politik yang menjadi keutamaan bersama selain sambutan ini juga memberi impak signifikan terhadap pengukuhan jaringan strategik antara tiga negeri terutamanya dalam menyelaraskan agenda keharmonian bersama.

“Penyelarasan ini bukan sahaja memudahkan perkongsian amalan terbaik dalam pengurusan komuniti berbilang kaum tetapi juga merangsang pertumbuhan ekonomi setempat melalui sektor pelancongan domestik dan industri kreatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Zon Selatan 2026 Dan Arkib Komuniti Peringkat Kebangsaan di Dataran Memorial Pengisytiharan  Kemerdekaan, di sini, malam tadi.

Terdahulu, majlis itu telah disempurnakan Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang dan hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad.

IMG
SITI FAIZAH


Menurut Siti Faizah, sambutan itu juga menjadi platform strategik bagi mempamerkan keunikan warisan silang budaya yang menjadi model perpaduan hidup kepada seluruh negara.

“Selain menjadi platform strategik, ia juga membuktikan bahawa kepelbagaian adalah kekuatan utama yang menjamin kesejahteraan negara.

“Kejayaan program di bumi bersejarah ini diharapkan dapat menjadi titik tolak kepada pengukuhan integrasi nasional yang lebih padu yang mana interaksi secara bersemuka antara pelbagai lapisan masyarakat mampu membina jambatan persefahaman yang lebih erat,” katanya.

Tambah Siti Faizah, sambutan itu bukan sekadar acara tahunan malah  merupakan manifestasi keutuhan integrasi nasional yang menyatukan kepelbagaian budaya dan etnik sebagai aset terjangkau demi menjamin kestabilan serta kemakmuran masa depan Malaysia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1829
Kongsi :
Previous post 34 SEKOLAH PARLIMEN HANG TUAH JAYA TERIMA RM127,000 NAIK TARAF PRASARANA
Next post KAMPUNG BUKIT BULAT IKON PELANCONGAN DESA