
WARTAWAN DAHULU TIDAK DIPANDANG, KINI SUDAH JADI KEBANGGAAN
PAYA RUMPUT 9 Mei – Kewujudan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) dilihat telah mengangkat profesion kewartawanan ke satu tahap lebih tinggi.
Itu pandangan dizahirkan bekas Ketua Pengarang Melaka Hari Ini Ishak Mohamed Salleh, 65, yang berterima kasih dengan usaha dilakukan kerajaan dalam membantu profesion kewartawanan kekal relevan.
Dia yang telah berkhidmat dalam dunia media selama hampir 40 tahun berkata, ketika eranya, golongan wartawan seolah tidak dipandang, malah keringat bekerja tanpa mengira waktu juga bagaikan tidak dihargai.
Namun, dia bersyukur situasi itu berubah menerusi kewujudan HAWANA yang banyak memberi penghargaan kepada jasa pengamal media sama ada yang masih berkhidmat ataupun sudah bersara.
“Usaha dilakukan pada hari ini bukan sahaja mengiktiraf peranan pengamal media, bahkan turut memberi satu semangat baharu kepada wartawan-wartawan muda untuk bangga dengan profesion ini,” katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan ziarah Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang hadir menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA di kediamannya di Taman Bukit Cheng, di sini, hari ini.
Ishak yang pernah berkhidmat di Melaka Hari Ini selama 18 tahun kini diuji dengan masalah kesihatan termasuk diabetes dan penyakit saraf yang menyebabkannya hilang deria rasa pada bahagian kanan tubuhnya, sekali gus menjadikannya terpilih sebagai penerima sumbangan kerajaan dalam ke-740 Tabung Kasih@HAWANA.
Dalam pada itu, bapa kepada tiga anak itu merakamkan ucapan terima kasih kepada menteri, Kementerian Komunikasi dan Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA) kerana membuatkannya rasa dihargai walaupun sudah tidak lagi berkhidmat dalam dunia media.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


