Nelayan rayu LKIM baiki bumbung balai nelayan

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

TANJUNG BIDARA 21 Okt. – “Setiap kali hujan lebat, kami terpaksa berpindah ke sudut balai yang bumbungnya tidak bocor.

“Kami terpaksa berhimpit-himpit di kawasan yang sempit untuk membuat kerja menyirat (menjahit) jaring dan menyelenggara enjin motor sangkut kerana jika kami tunggu di bahagian yang bumbungnya sudah terkopak, kami akan basah kuyup,” kata nelayan, Najib Senin, 68.

Itulah keluhan nelayan di Balai Nelayan Pengkalan Balak, di sini mengenai bumbung balai berkenaan yang sebahagian besarnya sudah terkopak akibat dipukul ribut kira-kira enam bulan lalu.

Najib mendakwa, setiap kali hujan lebat atau ribut melanda, beliau dan kira-kira 20 nelayan lain terpaksa mencari tempat berlindung di sudut balai yang jauh dari kawasan bumbung yang sudah tercabut.

NELAYAN memohon LKIM segera menjalankan kerja pembaikan bumbung rosak akibat diterbangkan ribut di Balai Nelayan Pengkalan Balak Foto Din Ahmad

“Keadaan ini menyukarkan kami untuk membuat kerja menyirat (menjahit) jaring atau pukat yang rosak atau menjalankan kerja penyelenggaraan enjin motor sangkut,” katanya ketika ditemui di balai itu hari ini.

Beliau menjelaskan, dalam kejadian ribut kira-kira enam bulan lalu, sebahagian besar daripada bumbung zink balai berkenaan diterbangkan angin, sekali gus menyebabkan tempat untuk nelayan menyirat jaring dan menyelenggara enjin dibasahi hujan.

Najib mendakwa, paling dibimbangi nelayan ialah stor kecil untuk menyimpan enjin motor sangkut turut dibasahi hujan hingga menyebabkan stor berkenaan menjadi lecak.

Tawi Mohamad, 60, berkata nelayan sudah beberapa kali memohon Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), iaitu pemilik balai berkenaan untuk menjalankan kerja pembaikan.

“Kami amat berharap LKIM boleh menyegerakan kerja pembaikan bumbung dan beberapa kerosakan lain pada bangunan yang dibina kira-kira 15 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah LKIM negeri Rosli Mustapa mengesahkan sudah menerima permohonan nelayan terbabit dan usaha sedang dilakukan bagi mendapatkan peruntukan kerja pembaikan bumbung.

“InsyaAllah kerja pembaikan akan segera dilakukan apabila kita sudah menerima peruntukan dan sementara menunggunya, saya minta nelayan supaya berhati-hati ketika hujan atau ribut melanda bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Views:

788
Kongsi :
Previous post Balai nelayan Kampung Telok Gong tunggu masa ‘ghaib’
Next post Empat PATI ditahan cuba menyusup masuk ke Malaysia
Ubah saiz-+=