Empat PATI ditahan cuba menyusup masuk ke Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

KUALA LINGGI 21 Okt. – Cubaan empat pendatang tanpa izin (PATI) menyusup masuk secara haram ke negara ini gagal apabila mereka berjaya ditahan sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka/ Negeri Sembilan, di perairan Tanjung Sepat, Selangor, malam semalam.

Tindakan mereka itu disedari penguatkuasa yang melakukan rondaan Op Benteng kira-kira jam 9.55 malam apabila menerima maklumat mengenai pergerakan bot yang mencurigakan.

Pengarah Maritim Melaka/Negeri Sembilan Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, semasa melaksanakan rondaan Op Benteng pihaknya menerima maklumat daripada stesen pengesanan radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) memaklumkan terdapat pergerakan masuk bot mencurigakan dari perairan Indonesia sedang menuju masuk ke Perairan Tanjung Sepat.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat dua bot ronda diaturgerak ke lokasi sasaran bagi pengesanan dan pemantauan, sejuru tiba kelihatan sebuah bot berada dalam keadaan mencurigakan selain telah memecut laju dengan cubaan berpatah balik ke perairan Indonesia.

“Susulan itu dua bot Maritim Malaysia bertindak pantas mengejar bot terbabit dengan mengambil masa kira-kira setengah jam berlaku aksi kejar buru sebelum berjaya ditahan pada kedudukan 7.6 batu nautika barat di Tanjung Sepat.

“Pemeriksaan ke atas bot pancung hitam tanpa nombor pendaftaran yang menggunakan empat enjin sangkut itu mendapati terdapat empat lelaki termasuk tekong warga Indonesia yang berusia antara 38 hingga 53 tahun,” katanya.

Haris berkata, pihaknya mengesyaki bot yang ditahan itu menjalankan aktiviti penyeludupan berdasarkan kapasiti muatan yang besar serta keupayaan enjin bot 200 kuasa kuda yang mampu memecut pada kelajuan 52 knot sebelum berjaya dipintas.

“Kesemua yang ditahan itu akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan mereka kemudian dibawa ke pejabat untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Pihak kami sentiasa memandang serius dalam usaha membanteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan Melaka/Negeri Sembilan, selain meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya terdapat sebarang aktiviti salah laku jenayah dan kecemasan di laut,” katanya

Views:

441
Kongsi :
Previous post Nelayan rayu LKIM baiki bumbung balai nelayan
Next post SK Chinchin kumpul 2248.5 kilogram barangan kitar semula
Ubah saiz-+=