Nilai RM100 bagi si tukang kayu

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

LENDU 10 Jan. – “Apalah sangat yang ada pada baucer buku RM100 bagi mereka yang berpendapatan tinggi tetapi bagi tukang kayu seperti saya, ianya amat bernilai,” kata Mohd Nizam Maydin, 47.

Menurutnya baucer sumbangan Masjid al-Sultan Abdullah itu amat berharga buat dirinya yang turut terkesan akibat pandemik COVID-19 sejak hampir setahun yang lalu.

Dia yang menemani anaknya Mohd Danial Hakim, 14, adalah antara 27 pelajar lain dalam kariah Pekan Masjid Tanah menerima sumbangan itu bagi meringankan beban golongan B40 menyediakan peralatan persekolahan anak masing-masing.

SULAIMAN menyampaikan sumbangan baucer buku dan wang tunai kepada murid di Masjid al-Sultan Abdullah, Masjid Tanah. / FOTO DIN AHMAD

Penyampaian sumbangan disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang turut bermurah hati menghulurkan sumbangan peribadi wang tunai RM100 kepada setiap penerima.

“Saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada pihak masjid serta Ketua Menteri kerana sudi membantu saya menyediakan buku anaknya untuk sesi persekolahan yang dijadualkan bermula 20 Januari ini,” katanya.

Sementara itu, Permadi Bakri, 60, berkata dia amat bersyukur apabila permohonannya mendapatkan sumbangan untuk anaknya, Zaidani Salam, 14, diluluskan dan ia ditambah pula dengan sumbangan peribadi daripada Sulaiman.

“Alhamdulillah, dengan sumbangan itu, dapatlah anak saya membeli buku di Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Ghafar Baba dan ia sangat membantu meringankan beban kewangan saya,” katanya.

Sementara itu, Sulaiman dalam ucapannya mengingatkan ibu bapa supaya menggunakan sumbangan berkenaan untuk kepentingan persekolahan anak masing-masing dan bukannya untuk tujuan lain.

Beliau berkata, walaupun sumbangan itu tidak seberapa, sekurang-kurangnya ia membantu meringankan beban kewangan ibu bapa terbabit.

Views:

676
Kongsi :
Previous post Tok Pa positif COVID-19
Next post COVID-19: Kuarantin di hotel perlu tanggung sendiri
Ubah saiz-+=