Nor Shamsiah taruh harapan lebih ramai gabenor wanita di bank-bank pusat

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus menaruh harapan agar lebih ramai wanita dilantik sebagai gabenor di bank-bank pusat di seluruh dunia dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Berdasarkan hantaran BNM menerusi akaun di Twitter @BNM_official, harapan itu disuarakan oleh Nor Shamsiah dalam wawancara oleh Women’s World Banking, yang diterbitkan pada 1 Feb, 2022 di laman web organisasi tersebut.

Mengenai soalan berkaitan kepimpinan wanita di bank-bank pusat, beliau juga berharap wanita akan dilantik sebagai gabenor bukan disebabkan gender sebaliknya kerana mereka merupakan calon terbaik untuk jawatan tersebut.

“Antara nilai organisasi teras kami adalah menghormati kepelbagaian. Berdasarkan pengalaman kami, dasar menghormati kepelbagaian, meritokrasi dan ketelusan merupakan amalan terbaik untuk mengurangkan kebimbangan merentas gender.

“Lelaki dan wanita mempunyai cabaran yang berbeza, dan kita perlu menyediakan sumber yang diperlukan untuk mendatarkan situasi persaingan,” katanya.

Nor Shamsiah berkata pendekatan BNM yang memberikan peluang setara kepada lelaki dan wanita untuk membangunkan kerjaya masing-masing dan mengganjar mereka berasaskan merit ternyata berhasil bagi BNM.

“Kami mempunyai perwakilan yang sama bagi lelaki dan wanita, dan wanita membentuk lebih 40 peratus daripada pengawai kanan kami,” katanya.

Selain Nor Shamsiah, wawancara yang sama turut melibatkan Gabenor Central Bank of Seychelles, Caroline Abel; Presiden Central Bank of San Marino, Catia Tomasetti serta Gabenor National Bank of Serbia, Jorgovanka Tabaković.

Women’s World Banking merupakan organisasi bukan bermotifkan keuntungan dan melabur dalam penyelesaian kewangan, institusi dan persekitaran dasar dalam pasaran pesat membangun untuk mewujudkan kestabilan dan kemakmuran ekonomi yang lebih besar untuk wanita, keluarga dan komuniti mereka.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1426
Kongsi :
Previous post KRC bakal tarik pelaburan RM10 bilion menjelang 2025 – PM Ismail Sabri
Next post Tahfiz di Johor disaran tawarkan TVET – Hasni
Ubah saiz-+=