Notis kompaun pelanggaran SOP PKP kini RM10,000

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

KUALA LUMPUR 11 Mac. – Nilai kompaun bagi kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM10,000 mulai hari ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata langkah itu berikutan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan mulai 12.01 tengah malam tadi.

Beliau berkata keputusan menaikkan nilai kompaun itu bagaimanapun bukan untuk menghukum orang ramai secara berlebih-lebihan atau membolehkan kerajaan mengutip wang daripada orang ramai.

“Tetapi ia semata-mata untuk sedarkan orang ramai bahawa virus ini masih berada di mana-mana sekiranya kita lupa.

“Jika PKP dikenakan sejak sebulan lepas tak dipatuhi maka pada bila-bila masa keadaan boleh berubah kepada keadaan jauh lebih buruk (jumlah kes positif) daripada sebelum ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata notis kompaun yang ditulis adalah bernilai RM10,000 jika melanggar SOP, namun ia bergantung kepada budi bicara pegawai yang diberi kuasa iaitu Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) untuk menetap nilai sebenar kompaun yang dikenakan.

“Mana-mana pegawai atau anggota polis hanya mengeluarkan notis kompaun kepada pesalah SOP yang melanggar kesalahan seperti tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan fizikal atau premis tidak menyediakan alat pengukur suhu.

“Apabila pesalah dikenakan kompaun yang tertera RM10,000, mereka diberikan masa selama dua minggu untuk menyelesaikan kompaun itu, bagaimanapun pesalah boleh membuat rayuan kepada PKD dan bergantung kepada budi bicara PKD untuk menetapkan jumlah bayaran,” katanya.

Beliau berkata sasaran kompaun maksimum RM10,000 ditujukan kepada pesalah SOP yang berdegil dan mengulangi kesalahan sama dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan membangunkan satu sistem untuk merekod kesalahan berulang pesalah yang melanggar SOP.

“Nama-nama mereka yang melakukan kesalahan SOP yang sama akan disimpan dan direkodkan jika mereka mengulanginya.

“Apabila didapati dia melanggar dan mengulangi kesalahan lagi maka merekalah sepatutnya dikenakan kompaun sehingga RM10,000,” katanya.

Abdul Hamid berkata sebelum ini, beliau telah menghadiri mesyuarat COVID-19 bersama KKM dan peringkat jawatankuasa darurat yang mendapati pembentangan modul Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berhubung menangani wabak itu amat meyakinkan.

“Beliau membentangkan satu modul jika langkah drastik tidak diambil oleh kerajaan untuk mengenakan PKP 2.0, melarang untuk merentas negeri atau daerah maka (situasi) akan lebih teruk dan kes positif COVID-19 juga boleh mencecah 10,000 setiap hari.

“Sekiranya ini berlaku, maka runtuhlah sistem negara dan modul yang dibentangkan beliau terbukti benar iaitu dengan pelaksanaan PKP 2.0 selama dua minggu, kes dapat dikurangkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

279
Kongsi :
Previous post Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah pecah amanah RM145,680
Next post MUSA, MUFC kunjung hormat Tun Mohd Ali
Ubah saiz-+=