klia

Omicron: Malaysia kesan satu lagi kes babitkan kanak-kanak perempuan dari Lagos

KUALA LUMPUR, 16 Dis – Malaysia mengesan satu lagi kes varian Omicron membabitkan seorang kanak-kanak perempuan warganegara, berumur lapan tahun, yang tiba dari Lagos, Nigeria pada 5 Dis lepas.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kes dikenal pasti selepas Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 52 sampel daripada 52 kes positif COVID-19 dalam kalangan pengembara yang pulang dari luar negara bagi tempoh 6 hingga 10 Dis lepas.

“Daripada jumlah ini, satu sampel telah menunjukkan kemungkinan varian Omicron melalui ujian PCR Genotyping Assay dan jujukan genom penuh (WGS) yang dijalankan selanjutnya ke atas sampel tersebut telah disahkan varian Omicron pada 14 Dis 2021.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dikesan varian Omicron di Malaysia adalah sebanyak dua kes dengan kedua-duanya merupakan jangkitan import dari luar negara,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Menjelas lanjut, Khairy berkata keputusan ujian RT-PCR COVID-19 ke atas kes yang tiba bersama ibu dan adik perempuannya itu adalah negatif sebelum mereka berlepas ke Malaysia.

Katanya selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kes dan ahli keluarganya menjalani RT-PCR dan kuarantin wajib di rumah sebelum kanak-kanak perempuan yang tidak mempunyai gejala itu memperoleh keputusan positif COVID-19 pada 7 Dis dan diarah menjalani isolasi di rumah selama 14 hari.

Menurut Khairy, kontak rapat kepada kes terdiri daripada ibu, adik perempuan, bapa dan pemandu teksi yang membawa kes dan keluarganya dari KLIA ke kediaman.

Beliau berkata semua ujian ke atas ibu dan adik perempuannya iaitu sebelum berlepas ke Malaysia, semasa ketibaan, pada hari kelima dan pada hari ke-11 menunjukkan keputusan negatif.

Keputusan ujian RT-PCR bapa kes yang tiba di Malaysia pada 12 Dis juga negatif dan menjalani arahan kuarantin di sebuah stesen kuarantin swasta manakala keputusan ujian RT-PCR bagi pemandu teksi dijangka diketahui hari ini.

“Terdapat seramai 35 orang kontak dalam penerbangan iaitu empat baris tempat duduk di hadapan, belakang, sebelah kiri dan sebelah kanan. Keputusan ujian RT-PCR semasa ketibaan dan pada hari kelima bagi kesemua kontak ini adalah negatif.

“Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) bersama Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah meneruskan siasatan lanjut termasuk siasatan kontak semasa dalam penerbangan. Buat masa ini, punca jangkitan kes masih dalam siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy memaklumkan hasil ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan KKM, sebanyak 18 kes lagi menunjukkan kemungkinan varian Omicron dan kini sedang menunggu keputusan pengesahan daripada WGS serta keputusan dijangka akan diperolehi esok.

“18 kes ini daripada pelbagai negara. Kita tak akan umumkan lagi negara mana sehingga kita dapat  jujukan genom penuh nanti,” katanya. – BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

41
WhatsApp Image 2021-12-16 at 12.51.39 PM Previous post Pekerja hotel dipenjara 7 tahun lakukan amang seksual
SUNTIKAN IMUNISASI VAKSIN COVID-19 Next post Status MySejahtera bertukar putih jika tidak ambil dos penggalak – Khairy