Sorting by

×

Op Motosikal hasilkan 768 saman

Masa Membaca:55 Saat

AYER KEROH 1 Sept. – Sejumlah 768 saman dikeluarkan Polis Trafik negeri dalam Op Motosikal yang dijalankan di tiga lokasi berasingan, petang semalam.

Operasi selama tujuh jam yang berakhir pada jam 9.30 malam itu dijalankan di Plaza Tol Ayer Keroh, Simpang Ampat dan Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Simpang Ampat membabitkan seramai 24 anggota termasuk tiga pegawai.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, dalam operasi yang bermula jam 2 petang itu sebanyak 890 buah motosikal diperiksa di kedua-dua lokasi terbabit.

“Hasilnya, sebanyak 493 saman dikeluarkan di Tol Ayer Keroh dan 275 di Simpang Ampat selepas didapati terdapat pelbagai kesalahan trafik dilakukan penunggang motosikal.

“Berdasarkan saman dikeluarkan, kita mendapati saman tertinggi direkodkan adalah membabitkan kesalahan berkaitan nombor pendaftaran sebanyak 287 dan diikuti aksesori tidak sempurna 212.

“Turut dikesan, seramai 40 penunggang tidak mempunyai lesen memandu dan 16 individu gagal menunjukkan lesen mereka ketika diminta pihak polis,” katanya.

Mengulas lanjut Hasan berkata, antara kesalahan trafik lain yang dikesan sepanjang operasi itu adalah membabitkan tiada cermin pandang belakang, brek tidak berfungsi, tidak pamer ‘P’ serta ubah suai ekzos.

Views:

377
Kongsi :
Previous post JPS mulakan kerja bina tembok penahan ombak
Next post Kembara Merdeka 1,280km ziarah veteran komando
Ubah saiz-+=