Kembara Merdeka 1,280km ziarah veteran komando
SUNGAI UDANG 1 Sept. – 1,280 kilometer (km)! Itulah jarak keseluruhan yang dilalui peserta Kembara Merdeka Beret Hijau 2020 yang dianjurkan Kelab Veteran Komando Malaysia (KVKM) Negeri Melaka bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-63.
Tampil dengan kelainan tersendiri, program berkenaan bukan hanya menjelajah ke beberapa lokasi dalam negara sambil mengibar Jalur Gemilang, bahkan ia turut menyelitkan acara amal dalam program ziarah veteran komando yang pernah menabur bakti untuk negara.
Menurut Pengerusi KVKM Melaka Nik Omar Al Haded Nik Mohd Salleh, program yang julung kali dianjurkan itu bertujuan untuk menziarahi rakan-rakan seperjuangan yang terdiri daripada veteran komando yang sudah uzur dan mereka yang hilang upaya kekal hasil daripada pertempuran dengan komunis suatu ketika dahulu.
“Di samping menziarahi rakan-rakan, kita juga akan menyampaikan sedikit sumbangan berbentuk wang dan barangan kepada mereka hasil sumbangan daripada beberapa syarikat dan individu.
“Objektif program ini juga adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara veteran di seluruh Malaysia terutama mereka yang sudah lama tidak bersua muka,” katanya ketika ditemui di majlis pelepasan peserta kembara di Kem Komando, baru-baru ini.
Kembara berkenaan bermula di Kem Komando Sungai Udang pada 28 Ogos dan berakhir pada 31 Ogos melibatkan sebanyak 49 buah motosikal berkuasa besar.
Antara lokasi yang dijelajah peserta Kembera Merdeka Beret Hijau 2020 termasuklah di Gerik, Perak; Kuala Terengganu, Terengganu dan Mersing, Johor.