Op Tahun Baharu Cina : JPJ Terengganu keluarkan 390 saman sejak 25 Jan lepas

KUALA TERENGGANU, 31 Jan – Sebanyak 390 saman dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu sepanjang operasi sempena Tahun Baharu Cina bermula Selasa lepas (25 Jan) hingga 10 malam tadi.

Pengarah JPJ Terengganu Zulkarnain Yasin berkata ia adalah hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap 2,301 kenderaan sepanjang tempoh enam hari tersebut.

Beliau berkata antara kesalahan yang paling banyak dikesan ialah penggunaan cermin gelap iaitu 87 kes, lesen kenderaan motor tamat tempoh (98 kes), tiada Lesen Memandu Kompeten (90 kes) dan tiada Lesen Vokasional (33 kes).

“Pada malam ini, kita adakan sekatan jalan raya di tiga lokasi iaitu di Jambatan Sultan Mahmud Kuala Terengganu, Kemaman dan Besut. Setakat pukul 10 malam, kita telah keluarkan 117 saman dan menyita tiga kenderaan.

“Selain itu, operasi malam ini juga berjaya mengesan tiga individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK),” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Seramai 127 anggota pelbagai agensi terlibat dalam operasi bersepadu melibatkan JPJ, Polis Diraja Malaysia, AADK dan Jabatan Alam Sekitar.

Mengulas lanjut beliau berkata operasi sepanjang musim perayaan kali ini yang berakhir pada 8 Feb depan turut tertumpu di 22 lokasi yang sering berlaku kemalangan di Terengganu.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

363
Previous post Saya lupa, belum ada lesen motosikal
Next post Kampung Warisan Kebudayaan semarakkan sambutan Tahun Baharu Cina di Alor Setar