Ops Benteng catat kejayaan besar di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

KUALA LINGGI 21 Jan. – Pelaksanaan Ops Benteng yang dikuatkuasakan bermula Mei tahun lalu nyata menunjukkan keberkesanannya apabila berlaku penurunan ketara membabitkan penahanan pendatang azing tanpa izin (PATI) yang cuba menyeludup masuk ke negeri ini.

Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Sh`arul Lalli Masduki berkata, sepanjang tahun lalu hanya 39 PATI ditahan di negeri ini, berbanding 89 orang pada 2019.

Katanya, ia membuktikan keberkesanan operasi bersepadu yang dijalankan oleh pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Jabatan Imigresen serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dengan kekuatan seramai 256 anggota.

“Terdapat tiga elemen yang kita gunakan sepanjang Ops Benteng iaitu ialah elemen laut membabitkan APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin. Ia diikuti kawalan pesisir pantai oleh ATM, manakala kawalan di darat pula membabitkan anggota polis.

“Kita percaya ketiga-tiga elemen ini menunjukkan keberkesanannya sepanjang 2020 apabila kita dapat mengurangkan kemasukan PATI.

“Ia juga memberi gambaran melalui Ops ini PATI terpaksa memikirkan banyak kali untuk merentas Selat Melaka terutamanya mendarat di negeri ini,” katanya.

Sh`arul Lalli memaklumkan pihaknya bercadang mendirikan pos pemantau di sekitar pantai Melaka bagi mempertingkat keberkesanan pengawalan pencerobohan PATI.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan taklimat Ops Benteng kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam dalam satu lawatan ke Markas Taktikal Pasukan Gerakan Marin Kuala Linggi, hari ini.

Mengulas lanjut, Sharul Lalli berkata, Daerah Alor Gajah atau lebih khusus di sekitar Kuala Linggi telah dikenal pasti menjadi lokasi ‘panas’ kemasukan PATI ke negeri ini berikutan kawasan itu berhampiran dengan negara jiran Indonesia, iaitu dengan anggaran jarak sekitar 74 kilometer sahaja.

Ujarnya, jarak itu membolehkan PATI sampai ke Melaka dalam tempoh anggaran satu jam 30 minit sahaja jika menggunakan bot dengan enjin berkapasiti 200 kuasa kuda dan menyasarkan Rumah Api Tanjung Tuan sebagai panduan untuk masuk ke negeri ini.

Justeru, pihaknya bercadang untuk mendirikan pos pemantau di sekitar pantai Melaka atau lokasi tumpuan bagi memastikan kejayaan membanteras penyeludupan PATI dapat diteruskan di masa akan datang.

“Kita juga berharap orang ramai dapat memberi maklumat sekiranya berlaku kegiatan tidak sah di sisi undang-undang, tidak kiralah membabitkan PATI mahu pun jenayah lain.

“Insya-Allah, melalui maklumat itu, pihak berkuasa dapat bekerjasama dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang ke atas mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Views:

1654
Kongsi :
Previous post Pelajar pilih sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka berbanding PdPR
Next post Azwan buat hal lagi?
Ubah saiz-+=