Pelajar pilih sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka berbanding PdPR

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

TELOK MAS 21 Jan – Pembukaan sesi persekolahan tahun ini agak berbeza berbanding sebelum ini berikutan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama 2020 sahaja dibenarkan kembali ke sekolah bagi mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) pada hari kedua persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Temu hari ini mendapati kebanyakan ibu bapa dan pelajar gembira dan menyambut baik keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) itu.

Biarpun keadaan sekolah sedikit lengang kerana bilangan pelajar yang berkurang, namun tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa diutamakan, dengan beberapa guru menjalankan pemeriksaan suhu pelajar di pintu pagar dan memastikan mereka mengamalkan penjarakan fizikal.

Bagi Ferdaus Muhamad, 44, meskipun bimbang untuk membenarkan anak perempuannya, Falesyah Nur Balqis, 17, bersekolah tatkala kes COVID-19 meningkat di seluruh negara, dia rela kerana yakin dengan pematuhan SOP dilaksanakan pengurusan sekolah dalam menjamin kesihatan dan keselamatan pelajar.

Katanya, sebaik pulang dari sekolah pada hari pertama semalam, Falesya ada berkongsi pengalaman dan suasana baharu kepadanya.

“Pihak sekolah amat menitik-beratkan SOP ditetapkan malah membenarkan 13 hingga 20 orang pelajar sahaja berada dalam satu-satu kelas.

“Maknanya, susunan meja dijarakkan antara satu sama lain malah makanan juga pihak sekolah sediakan secara bungkusan (makan dalam kelas),” katanya

FALESYA Nur Balqis , (kanan) bersalaman dengan bapanya, Firdaus ketika tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Temu, Ujong Pasir. Foto: MR. AZLI

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, Falesyah amat teruja untuk kembali ke sekolah kerana menyifatkan kaedah pembelajaran secara bersemuka lebih baik daripada kaedah Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

“Falesyah beritahu saya ada sesetengah subjek yang dia tidak faham ketika PdPR seperti Matematik dan Sains, jadi dia lebih gemar belajar secara bersemuka kerana penerangan lebih jelas.

“Sesi PdPR sebelum pun okay sahaja, tiada masalah namun komunikasi dengan guru pula agak terhad,” katanya.

Pelajar, Muneera Farisya Abdul Majid, 18, berkata, dia mahu memanfaatkan baki sebulan yang ada melalui pembelajaran secara bersemuka ini untuk meningkatkan pemahaman subjek teras terutama matematik.

“Masa agak suntuk untuk membuat persiapan terakhir, jadi peluang kembali semula ke sekolah digunakan untuk bertanya kepada guru yang mana saya tidak faham,” katanya.

Untuk rekod, seramai 13,694 calon yang menduduki peperiksaan utama 2020 di negeri ini pada Februari dan Mac depan memulakan sesi persekolahan semalam.

Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka Karim Tumin dilaporkan berkata, kehadiran pelajar semalam menunjukkan peratusan memuaskan iaitu merekodkan 90.25 peratus daripada keseluruhan pelajar di 77 buah sekolah menengah di negeri ini.

Views:

1491
Kongsi :
Previous post Ketua Polis Daerah PJ bantu wanita curi makanan untuk anak
Next post Ops Benteng catat kejayaan besar di Melaka
Ubah saiz-+=