Ketua Polis Daerah PJ bantu wanita curi makanan untuk anak

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

PETALING JAYA 21 Jan. – “Orang (ibu bapa) kalau lapar kita boleh tahan lagi, kalau anak-anak kita kita lapar, itu perkara yang…”

Itu luahan sebak Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal yang disiarkan secara langsung melalui laman media sosial Facebook Polis Daerah Petaling Jaya sehingga menyentuh hati ramai pihak hari ini.

Menurut Nik Ezanee, siaran langsung itu dibuat susulan beliau menerima laporan semalam berhubung seorang ibu kepada tiga anak ditahan di sebuah pasar raya kerana mencuri Kool Fever, sosej dan kek.

“Pada netizen-netizen yang follow (FB) semalam, kita terima laporan mengatakan ada wanita ditahan kerana dikatakan mencuri kek, Kool Fever untuk anak sakit, demam. Jadi saya terpanggil untuk berjumpa dengan wanita ini.

“Saya percaya dia ada masalah, kalau tidak dia tak akan buat perkara-perkara macam itu.

“Orang kalau lapar kita boleh tahan lagi, kalau anak-anak kita lapar, itu perkara yang…,” katanya dilihat sedikit sebak sebelum meneruskan siaran langsung memberitahu akan menyampaikan sedikit bantuan kepada wanita terbabit.

Difahamkan, Nik Ezanee turut membantu wanita berusia 30-an itu dengan tidak meneruskan tindakan (NFA) atas jenayah dilakukannya.

Beliau turut memberitahu pihaknya menyampaikan bantuan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan makanan lain demi keperluan wanita terbabit dan anak-anaknya.

“Kita beri juga Kool Fever (plaster tampal kebah demam) untuk anak puan itu.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini ini banyak mencabar kita, ramai yang antara kita complain (mengadu) tak boleh ‘brain’ (terima) kenapa polis buat road block (sekatan jalan raya)

“Sebenarnya, bukan tuan-tuan susah, ada yang lagi susah dalam waktu PKP ini,” katanya mengakhiri siaran langsung itu yang kemudian mendapat lebih 56,000 tontonan, 2,200 reaksi, dan 510 komen setakat jam 7 petang tadi.

Keprihatinan polis yang menyantuni wanita berkenaan termasuk tidak meneruskan tindakan undang-undang juga mendapat pujian ramai netizen.

Views:

829
Kongsi :
Previous post Penduduk Melaka antara tertinggi daftar MySejahtera
Next post Pelajar pilih sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka berbanding PdPR
Ubah saiz-+=