Penduduk Melaka antara tertinggi daftar MySejahtera

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 21 Jan. – Melaka antara tiga negeri tertinggi di negara ini menggunakan aplikasi MySejahtera sejajar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka, Mohd Nasrul Menhat berkata, rekod menunjukkan 96 peratus pengguna 897,035 pengguna mendaftar aplikasi terbabit sejak dilancarkan pada Mac sehingga Disember lalu.

“Melaka berada di kedudukan ketiga selepas Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Aplikasi MySejahtera yang mencapai jutaan pengguna sehari begitu relevan dalam norma baharu yang menjadi garis panduan seharian masyarakat di negara ini.

“MKN akan melaksanakan penambahbaikan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan aplikasi tersebut bagi memastikan ia kekal relevan terutama bagi mendapatkan maklumat berkaitan penularan wabak berkenaan.

“Selain itu, penambahbaikan bagi mengakses data buat pesakit yang mendapatkan rawatan isolasi di rumah turut dicadang akan dimasukkan tidak lama lagi sekali gus mampu memantau setiap pergerakan pesakit di rumahnya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Orang ramai mengimbas MySejahtera sebagai mematuhi SOP berkaitan pengawalan COVID-19 ketika tinjauan di Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Melaka di Menara Persekutuan, Ayer Keroh. Foto: MR. Azli

Sementara itu, Mohd Nasrul berkata, selain mengimbas aplikasi MySejahtera, buku pendaftaran masuk di setiap premis perlu disediakan sebagai pilihan buat pelanggan.

“Umumnya hampir semua masyarakat sudah memuat turun aplikasi percuma ini, malah ia turut memberi peluang untuk mendaftar melebihi satu nama bagi sesebuah keluarga sekiranya tidak memiliki telefon bimbit.

“Setiap pelanggan juga diingatkan supaya mengisi butiran diri dengan lengkap di dalam buku pendaftaran dan bukan sambil lewa. Ini penting supaya memudahkan pihak berkenaan untuk mengesan mereka jika berlaku jangkitan COVID-19 di premis dikunjungi mereka,” katanya.

Untuk rekod MySejahtera dilancarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, adalah aplikasi yang dibangunkan bagi membantu pemantauan penularan wabak COVID-19 di negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.

Ia juga membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumpul maklumat awal dan mengambil tindakan cepat dan berkesan bagi membendung wabak berkenaan.

Views:

710
Kongsi :
Previous post 1,781 Tabika perpaduan laksana PdPR
Next post Ketua Polis Daerah PJ bantu wanita curi makanan untuk anak
Ubah saiz-+=