Orang Asli pasang papan tanda larang orang luar masuk kampung elak COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

MACHAP 17 Sept. – Penduduk Orang Asli di Kampung Air Dusun, Tebong di sini, memasang papan tanda melarang orang luar memasuki kampung itu bagi mengelak penularan pandemik COVID-19.

Ia susulan sepasang suami isteri dari luar kampung itu yang memakai gelang merah jambu memasuki kampung untuk berurusan dengan seorang penduduk kampung, baru-baru ini.

Ketua Kampung, Tok Batin Ahmad Salleh, 61, berkata bagaimanapun, papan tanda itu bukan bermaksud menghalang sama sekali masyarakat luar masuk ke kampung itu.

AHMAD (kiri sekali) bertanya sesuatu kepada anak buahnya di Perkampungan Orang Asli Air Dusun, Tebong dekat Alor Gajah.

“Kami bukannya tidak terima orang luar masuk ke kampung kami tetapi kami tidak mahu orang memakai gelang merah jambu datang ke sini,” katanya.

Menurutnya, sebaik dimaklumkan perkara itu dia segera meminta dengan baik agar pasangan itu beredar dari kampung itu.

“Walaupun kami tidak berpelajaran tinggi, kami faham mengenai wabak COVID-19 yang mengancam nyawa dan saya tidak mahu ada anak buah saya dijangkiti penyakit itu,” katanya ketika ditemui di kampung itu hari ini.

Sehubungan itu, dia dan beberapa penduduk kampung memasang papan tanda berkenaan bagi memastikan pandemik berkenaan tidak merebak ke dalam kampung.

Sejak papan tanda itu dipasang di laluan masuk ke kampung, tiada lagi kejadian mereka yang memakai gelang merah jambu memasuki kampung, sekali gus menjamin kesejahteraan kesihatan anggota komuniti, katanya.

Ahmad menjelaskan, 43 ketua keluarga dan kira-kira 200 penduduk dewasa kampung berkenaan sudah menerima suntikan dos pertama vaksin dan dos kedua dijangka mampu disempurnakan hujung bulan ini.

“Saya sendiri sudah lengkap dua dos dan berharap anak buah saya juga akan mendapat suntikan kali kedua tidak lama lagi,” katanya.

SELAMAT

Anggota komuniti, Selamat Salleh, 57, berkata majoriti penduduk bekerja menoreh getah dan mencari hasil hutan seperti petai, buah kerdas, rotan dan seumpamanya tidak menolak kehadiran masyarakat luar.

“Bagaimanapun, seperti orang lain di luar, kami juga tidak mahu penduduk kampung kami diancam COVID-19 kerana setakat ini tiada seorang pun antara kami yang positif wabak itu,” katanya.

Sehubungan itu, dia meminta masyarakat luar bekerjasama untuk tidak keluar masuk ke kampung itu sesuka hati, sebaliknya hanya yang sihat dan tiada gejala pandemik itu masuk membeli hasil hutan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1013
Kongsi :
Previous post Agong, permaisuri adakan lawatan khas ke UK mulai hari ini
Next post Exco, ADUN, petugas Sidang DUN jalani ujian saringan RT-PCR
Ubah saiz-+=