Pacu Melaka jadi hab pendidikan negara, antarabangsa

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

BANDARAYA MELAKA 11 Dis – Sumbang bakti guru-guru di negeri ini amat penting dalam membantu Melaka menjadi sebuah hab pendidikan di peringkat domestik, mahupun antarabangsa, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata, hasrat itu selari dengan flagship ketujuh Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) untuk menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri lestari yang terus maju dan makmur menjelang tahun 2035 sebagai hab pendidikan yang telah dibentangkan sebelum ini.

Menurutnya, antara cabaran terhadap gagasan besar PSMJ2035 adalah untuk menghapuskan kemiskinan dalam semua bentuk dan tempat, yang mana beliau yakin melalui pendidikan ia berupaya mendepani cabaran tersebut.

“Saya sedar, di samping sokongan Kerajaan dalam merangsang ekonomi masyarakat, ia dapat membantu menangani isu kemiskinan, namun pendidikan untuk anak bangsa
juga mempunyai peranan dalam menghapuskan isu kemiskinan ini.

“Hal ini kerana, setiap inisiatif dalam membawa Negeri Melaka tercinta ini untuk terus maju, ia mesti dapat disambut oleh generasi yang berkualiti dari
aspek ilmu pengetahuan, kemahiran dan mempunyai nilai sahsiah yang tinggi.

“Justeru, pendidikan anak bangsa amat signifikan dan asas dalam menjadikan Melaka sebuah negeri lestari. Pendidikan bukan sahaja mampu menjadi alat yang berkesan dalam membantu untuk mengeluarkan anak-anak kita daripada lingkaran kemiskinan, tetapi anak-anak ini nanti mampu meneruskan perjuangan menjadikan Melaka sebuah negeri yang terus maju dan lestari pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Melaka Tahun 2021 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pendidikan Datuk Rais Yasin dan Pengarah Pendidikan negeri Dr Mohd Azam Ahmad.

Dalam pada itu, Sulaiman turut merakamkan penghargaan di atas jasa guru-guru yang banyak berkorban dalam pendidikan anak bangsa di negeri ini dalam dua tahun kebelakangan ini.

Ujar beliau, meskipun negara berdepan cabaran pandemik COVID-19 yang melumpuhkan pelbagai sektor termasuk pendidikan, namun guru-guru di negeri ini tetap bersemangat dalam memastikan pembelajaran anak-anak diteruskan dalam suasana norma baharu.

“Walau adanya pelbagai kepayahan dan cabaran, guru-guru tetap meneruskan tanggungjawab dan amanah yang ada dengan melaksanakan pembekalan modul latihan serta pembelajaran secara dalam talian.

“Bayangkanlah, sekiranya proses pembelajaran untuk anak-anak ini terhenti, bermakna kemajuan bangsa dan negara pada masa hadapan juga turut tergugat sama,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1222
Kongsi :
Previous post Enam pelajar terbabit buli ditahan polis
Next post Ismail Sabri tagih sokongan UMNO sebagai PM untuk bantu rakyat
Ubah saiz-+=