Padah cabul pelajar dalam bas, seorang lelaki ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

BANDARAYA MELAKA 8 Mei – Seorang lelaki ditahan selepas didakwa mencabul seorang penumpang wanita dalam sebuah bas ekspres ketika berhenti rehat di Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Ajil, Trengganu awal pagi tadi.

Suspek yang juga pemandu kedua bas berkenaan berusia 27 tahun ditahan selepas bas berkenaan tiba di Terminal Melaka Sentral, di sini pada jam 10.30 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Lim Meh Seah berkata, suspek ditahan selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang mendakwa seorang wanita berusia 21 tahun dicabul ketika sedang tidur dalam bas berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati bas berkenaan dalam perjalanan dari Kelantan menuju ke Melaka.

“Ketika kejadian, penumpang wanita yang menuntut di sebuah maktab perguruan di negeri ini berusia 21 tahun mendakwa diraba oleh suspek ketika bas berhenti di Ajil, Terengganu kira-kira jam 4 pagi tadi.

“Polis menerima laporan awal mengenai kejadian itu dan terus menahan pemandu yang berasal dari Kota Tinggi, Johor sebaik sahaja bas tiba di Terminal Melaka Sentral,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, beliau berkata susulan kejadian itu mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah pada jam 12 tengah malam dan suspek ditahan dilokap sementara.

Jelasnya, beliau berkata kes berkenaan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan berikutan kejadian itu berlaku di daerah itu.

Kejadian itu turut mendapat perhatian EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal yang berkongsi video berdurasi tiga minit 41 saat di Facebook rasminya.

Katanya, beliau menerima pesanan mesej menerusi laman Facebooknya oleh seorang individu dipercayai rakan mangsa yang meminta bantuan mengenai kejadian itu.

“Pagi tadi ketika hendak bangun Subuh saya terima pesanan mesej daripada sahabat di Facebook berhubung kejadian yang menimpa rakannya yang ingin pulang semula ke Melaka.

“Adik (mangsa) ini terlalu baik. Dia hendak menjerit pun terlalu takut dan dia hanya mampu menangis teresak-esak sahaja.

“Jadi apabila saya baca mesej itu saya berikan nombor telefon sebelum saya bersama beberapa rakan tunggu di Melaka ini untuk bantu selamatkan gadis ini,”katanya.

Muhamad Akmal berkata, beliau mengambil serius isu gangguan seksual seumpama ini dan menasihati golongan wanita untuk tidak berdiam diri sebaliknya melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa supaya dikenakan tindakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1317
Kongsi :
Previous post Keluarga rumah terbakar terima sumbangan dari MDDNM
Next post Hari Ibu: Beri perhatian dan kasih sayang pada ibu – Ismail Sabri
Ubah saiz-+=