Keluarga rumah terbakar terima sumbangan dari MDDNM

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

DURIAN TUNGGAL 8 Mei- Tujuh beranak yang hilang tempat berteduh susulan rumah terbakar menjelang Aidilfitri di Parit Melana di sini menerima sumbangan dari Majlis Datuk-Datuk Negeri Melaka (MDDNM) pada 1 Mei lalu.

Timbalan Presiden MDDNM, Datuk Wira Dr Ir Ahmad Zaini Mohd Amin berkata sumbangan yang diberikan bertujuan untuk meringankan bebanan tujuh beranak itu menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, antara sumbangan yang diberikan adalah berupa wang tunai RM2,000, tilam, bantal, dapur masak, dan keperluan asas untuk dimasak.

“Bagi tanda prihatin terhadap mangsa yang kehilangan hampir 80 peratus tenpat berteduh, pihak MDDNM memberikan sumbangan dan sedikit sebanyak diharapkan dapat meringankan bebanan penerima iaitu Asnan Dollah serta isteri Siti Rohinda A Latif bersama lima anak mereka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zaini yang juga Pengerusi Biro Kebajikan dan Faedah Keahlian MDDNM berkata pihaknya turut memberikan sumbangan kepada empat lagi penerima yang terkena musibah bencana.

Katanya, pihak MDDNM telah membelanjakan sehingga RM62,000 bagi tempoh dari Januari hingga Mei untuk kerja-kerja kebajikan.

“Tahun ini bagi tempoh lima bulan kita telah dapat meringankan bebanan beberapa keluarga yang terkena musibah termasuk banjir dan kebakaran.

“Tahun lalu kira-kira RM205,000 telah dikeluarkan pihak MDDNM menerusi kerja-kerja kebajikan untuk dilaksanakan khususnya mereka yang terkena musibah dalam negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1025
Kongsi :
Previous post Dua pelatih lari dari Puspen Bukit Chabang
Next post Padah cabul pelajar dalam bas, seorang lelaki ditahan
Ubah saiz-+=