Padah ‘rempit’ bawa bendera Palestin

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 20 Mei – Niatnya mahu menunjukkan sokongan terhadap rakyat Palestin, namun cara dilakukan salah mengakibatkan 11 lelaki ditahan polis apabila video perarakan mereka menunggang motosikal secara berbahaya tular malam tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, penahanan kesemua mereka berusia antara 17 hingga 30 tahun itu susulan menerima laporan penularan dua klip video berkenaan berdurasi 23 saat dan 30 saat malam tadi.

KETUA Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad

“Laporan diterima jam 8 malam tadi berkaitan kes video tular sekumpulan motosikal berarak dengan membawa bendera Palestin di Jalan Telok Mas di sini.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati video tersebut telah dimuat naik ke laman sosial Facebook sebuah portal yang mana perbuatan tersebut membahayakan kepada diri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, susulan itu, Polis Melaka Tengah telah memanggil kesemua 11 lelaki berumur 17 tahun hingga 30 tahun untuk memberi keterangan di Balai Polis Kandang malam tadi, namun tiga daripadanya berusia 17 hingga 20 tahun telah dibebaskan dengan jaminan polis.

TANGKAP layar daripada video yang tular

“Baki lapan lelaki berusia 20 hingga 30 tahun bagaimanapun telah dibawa ke mahkamah hari ini dan mendapat kebenaran majistret untuk direman selama dua hari sehingga esok.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang atau memandu kenderaan dalam keadaan melulu dan merbahaya,” katanya.

Tambahnya, siasatan turut dibuat di bawah Peraturan 10 (Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021) iaitu tiada seorang pun dengan apa-apa cara boleh menyertai atau terlibat dalam apa-apa perarakan.

TANGKAP layar daripada video yang tular

“Pihak Polis menasihatkan kepada ibu bapa untuk sentiasa mengawasi pergerakan anak– anak semasa dalam tempoh PKP sedang berkuatkuasa dengan tidak melibatkan diri dalam sebarang perhimpunan atau perarakan,” katanya.

Tambahnya, orang ramai juga seharusnya terus kekal berada di rumah jika tiada keperluan untuk keluar semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1025
Kongsi :
Previous post Pasar Borong Batu Berendam dijangka buka semula Sabtu ini
Next post PKPD tamat, penduduk Kampung Permatang Tulang kembali kepada rutin harian
Ubah saiz-+=