PKPD tamat, penduduk Kampung Permatang Tulang kembali kepada rutin harian

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

SUNGAI RAMBAI 20 Mei. – Selepas 14 hari ‘dikurung’ akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), penduduk Kampung Permatang Tulang melahirkan rasa lega akhirnya kembali melakukan rutin harian.

Pesara kerajaan Mohd Ali Adam berkata, sepanjang tempoh itu dia dan ahli keluarganya banyak bermuhasabah diri dan menganggap penyakit yang menjangkiti diri dan keluarganya sebagai ujian dari Allah S.W.T.

 

MOHD Ali Adam

Malah, katanya dia akan lebih berhati-hati serta mematuhi arahan kerajaan sebagaimana ditetapkan.

“Isteri saya sebelum ini menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) manakala saya pula di rumah.

“Jadi, sepanjang tempoh itu saya hanya duduk di rumah manakala isteri, saya beri sokongan kepadanya untuk mengambil pengajaran serta pengalaman sepanjang berada di MAEPS.

“Selepas bebas ini, saya akan kembali meneruskan kerja harian malah akan lebih berhati-hati dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya ketika ditemui di Surau Kampung Permatang Tulang di sini hari ini.


GHAFAR Md Nor.

Nada sama dizahirkan Ghafar Mohd Nor, 55, namun dia bimbang sekiranya akan ada gelombang kedua melanda penduduk kampung berkenaan.

Katanya, ada dalam kalangan penduduk kampung yang enggan mendengar teguran untuk terus mematuhi SOP ditetapkan, namun dia tidak mahu mengeruhkan keadaan sebaliknya menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat yang patuh pada arahan ditetapkan.

“Kita sebagai rakyat kena tahu tanggungjawab kita. Kita jaga kita sebab kalau saya sendiri ingatkan atau tegur orang lain, mereka tidak dapat terima.

“Bagaimanapun, Alhamdulillah akhirnya penduduk kampung sudah ‘bebas’ dan saya akan teruskan kerja-kerja kampung seperti sebelum ini,” katanya.

JALAN masuk ke Kampung Permatang Tulang lengang.

Sementara itu, tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) mendapati laluan masuk di Jalan Laidin lengang tanpa kelibat kenderaan keluar masuk di kawasan itu.

Penduduk kampung berkenaan juga dilihat mula menunggu giliran untuk memotong gelang merah jambu seawal jam 8 pagi.

BERITA BERKAITAN: PKPD Kampung Permatang Tulang Mukim Sebatu, tamat esok

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

409
Kongsi :
Previous post Padah ‘rempit’ bawa bendera Palestin
Next post Putrajaya bincang ‘lockdown’ esok
Ubah saiz-+=