Paip pecah di Taman Ozana Impian, aliran trafik ditutup hingga esok

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

BUKIT KATIL 27 April – Kebocoran paip yang mengakibatkan mendapan tanah di tepi Jalan Tun Hamzah berhampiran Taman Ozana Impian, di sini menghala ke Bukit Katil tengah malam tadi dibaik pulih dan dijangka siap dalam tempoh 36 jam.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, kebocoran paip pada jam kira-kira 12 tengah malam tadi berpunca daripada regangan paip bawah tanah sekali gus berlaku tekanan air hingga mengakibatkan mendapan tanah seluas 25 meter persegi sedalam lima meter di kawasan itu.

Katanya, susulan kejadian itu Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri serta agensi berkaitan menutup sementara aliran trafik sejauh 1.2 kilometer bermula jam 2 pagi tadi kerana kejadian itu dikhuatiri mendatangkan risiko pada struktur jalan raya selain boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang melalui jalan berkenaan.

“Akibat kejadian itu, bekalan air melibatkan kawasan industri dan penduduk di Fasa Tiga Taman Ozana Impian membabitkan 200 akaun terjejas sementara pada jam 3 pagi sebelum pulih sepenuhnya pada jam 11 pagi tadi.

“Kerja-kerja pembaikan termasuk penyambungan ‘colar’ pada paip itu sedang dilakukan oleh SAMB dibantu JKR negeri supaya ia kukuh dan kita mahu kerja baik pulih itu dilakukan dengan lebih teliti selain mengambil sedikit masa lebih panjang kerana kita tidak mahu ambil risiko melaksanakannya dengan segera namun akhirnya perkara sama berulang lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat tapak kejadian yang turut dihadiri Pengarah JKR negeri, Datuk Ir Ismail Abd Rahman.

photo_2023-04-27_12-07-08
Kebocoran paip yang mengakibatkan mendapan tanah di tepi Jalan Tun Hamzah berhampiran Taman Ozana Impian, di sini

Hameed berkata, aliran trafik dijangka dibuka semula kepada orang awam selewat-lewatnya pada jam 12 tengah malam esok.

“Jalan ditutup dari simpang lampu isyarat Jalan Gapam sejauh 1.2 kilometer menghala ke Bukit Katil dan dijangka mengambil masa selewat-lewatnya jam 12 tengah malam esok untuk dibuka sepenuhnya kepada pengguna jalan raya.

“Bagaimanapun, sekiranya ia dibuka lebih awal lagi bagus kerana kita mahu bersedia pada hukung minggu berikutan sambutan hari raya akan diteruskan dengan orang ramai akan menggunakan jalan berkenaan susulan hari cuti umum sempena Hari Buruh (Isnin ini).

“Jadi, buat sementara secara alternatifnya orang ramai boleh menggunakan simpang lampu isyarat di Sekolah Sains Muzaffar Syah melalui Kampung Tun Razak menghala Bukit Katil,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4228
Kongsi :
Previous post Ziarah Aidilfitri berakhir tragedi, cucu maut di kolam renang rumah datuk
Next post APMM bantu bawa penumpang kapal alami strok dapatkan rawatan
Ubah saiz-+=