Pakai ‘hoodie’ pecah masuk kedai

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 27 Oktober – Kegiatan jenayah pecah masuk kedai yang kerap berlaku di Kota Laksamana berakhir selepas pelakunya ditahan polis pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan di sebuah rumah di Kota Laksamana selepas pihaknya melakukan risikan susulan aduan yang diterima di kawasan itu.

Katanya, berdasarkan siasatan, suspek yang bekerja sebagai pekerja bar itu dipercayai memecah masuk ke kedai di kawasan itu sekitar jam 2 pagi hingga 5 pagi.

“Difahamkan, suspek masuk ke premis dengan cara memecah tingkap atau mengumpil pintu belakang pada awal pagi dengan dipercayai berpakaian baju panas ‘hoodie’ untuk mengelakkan daripada dicam.

“Bertindak atas aduan diterima pihak polis kemudian melakukan risikan sebelum membawa kepada tangkapan ke atas suspek yang juga tinggal di kawasan Kota Laksamana pada jam 10.45 pagi,” katanya.

Menurut beliau, hasil penahanan suspek, pihaknya turut merampas beberapa telefon bimbit dan pakaian yang dipercayai dipakai ketika melakukan jenayah.

Katanya lagi, siasatan lanjut juga mendapati suspek melakukan kegiatan itu secara sendirian (lone ranger), selain mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan kes curi motosikal.

“Dengan tertangkapnya suspek, pihak polis telah berjaya menyelesaikan lapan kes pecah kedai di sekitar daerah Melaka Tengah yang membabitkan kerugian kira-kira RM10,000,” katanya.

Christopher berkata, suspek kini ditahan reman selama lima hari sehingga 30 Oktober bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

882
Kongsi :
Previous post 68 peratus graduan UTeM merupakan lepasan bidang TVET
Next post UTeM peruntuk biasiswa kesidang RM10 juta untuk pelajar tempatan dan negara bergolak
Ubah saiz-+=