Pakej bantuan baharu bakal diumumkan

Masa Membaca:2 Minit, 24 Saat

PUTRAJAYA 7 Mac – Pakej bantuan baharu bakal diumukan oleh kerajaan dalam masa terdekat, bagi membantu individu dan syarikat yang masih terkesan dengan pandemik COVID-19, memetik laporan portal Berita Harian sebentar tadi.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bantuan baharu itu akan memberikan tumpuan lebih kepada kumpulan paling terjejas seperti sektor pelancongan.

“Kerajaan sudah mempunyai data dan sedang melihat siapa yang betul-betul terkesan membabitkan individu dan juga syarikat.

“Kita juga sedang membuat perbincangan di peringkat Kementerian Kewangan dengan kementerian-kementerian lain mengenai bagaimana kita boleh menolong terutama sektor yang masih terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Pengumuman mengenainya (pakej bantuan) dijangka akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media khas Setahun Malaysia Prihatin di Kementerian Kewangan di sini, baru-baru ini.

Dalam tempoh setahun mentadbir, kerajaan Perikatan Nasional (PN) memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi membantu mereka yang terkesan dengan COVID-19.

Ini termasuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Prihatin PKS bernilai RM260 bilion yang dilancarkan pada Mac dan April tahun lalu yang memanfaatkan lebih 20 juta individu dan 2.4 juta perniagaan.

Selain itu, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) pada Jun tahun lalu memanfaatkan lebih 12.5 juta individu dan 350,000 perniagaan, manakala pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin berjumlah RM10 bilion memanfaatkan lebih 10.1 juta individu dan 705,000 perniagaan.

Mengulas lanjut mengenai pakej bantuan baharu itu Tengku Zafrul berkata, kerajaan mahu memastikan pihak yang terjejas ini berupaya untuk memulakan perniagaan mereka semula.

Katanya, biarpun ekonomi dibenarkan beroperasi, tetapi terdapat sebahagian industri masih tidak boleh memulakan kembali operasi mereka seperti sektor peruncitan dan pelancongan.

“Kebanyakan penggiat dalam sektor pelancongan masih tidak beroperasi disebabkan ketidaktentuan membabitkan larangan perjalanan antara negeri dan penutupan pintu sempadan, yang juga adalah sebahagian daripada langkah kerajaan untuk membendung pandemik COVID-19.

“Jadi, kerajaan sedang meneliti apakah bantuan yang sesuai untuk diberikan sektor ini. Kita juga menyedari bahawa sektor pelancongan memerlukan bantuan yang berbeza daripada sektor lain.

“Insya-Allah, pakej bantuan baharu ini akan membantu mengukuhkan lagi pemulihan ekonomi negara susulan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan,” katanya.

Menurutnya, pakej bantuan disalurkan tahun lalu adalah sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan membantu individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta PKS Mikro yang terjejas.

PKS menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara dengan menyumbang hampir 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Ia juga menggajikan hampir 70 peratus pekerja dalam negara.

“Sudah tentu defisit negara telah meningkat memandangkan kerajaan terpaksa meminjam. Ini kerana kita memerlukan lebih banyak sumber untuk menyokong perbelanjaan kerajaan,” katanya

Defisit Malaysia meningkat kepada 6.2 peratus pada tahun 2020 daripada 3.4 peratus pada 2019.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan mengunjurkan defisit negara bagi tahun ini akan berkurangan daripada 6.2 peratus.

Ia katanya, bergantung kepada sepantas mana ekonomi negara kembali pulih dan fokus kerajaan dalam menyokong sektor tertentu untuk mengembangkan ekonomi dalam negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

323
Kongsi :
Previous post Muhyiddin tunai Umrah
Next post Suntikan vaksin COVID-19: Hampir 3 juta sudah mendaftar
Ubah saiz-+=