Pandu 60 kilometer bantu program kitar semula fabrik

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

LENDU 7 Mac – Dua suri rumah sanggup berulang alik kira-kira 60 kilometer (km) dari Banda Hilir ke pekan ini semata-mata untuk membantu menjayakan program kitar semula bahan fabrik.

Rosila Damiri, 57, dan Rozita Zakaria, 54, masing-masing dari Banda Hilir dan Pulau Gadong, di bandar raya Melaka sanggup berbuat demikian semata-mata tidak mahu barangan berkenaan disia-siakan jika dibuang begitu sahaja.

Sebaliknya, mereka menjadikan tong kitar semula di hadapan Masjid Al Sultan Abdullah, di sini sebagai lokasi paling sesuai untuk manghantar sisa fabrik seperti pakaian dan beg sekolah serta beg tangan.

Rosila berkata, dia dan rakannya sepakat mengumpulkan bahan berkenaan di kediaman masing-masing untuk diberikan kepada program berkenaan.

“Saya tidak tahu apa yang akan dibuat dengan bahan fabrik itu tetapi saya yakin ia dimanfaatkan untuk kegunaan sesiapa sahaja penerimanya.

“Jika tidak digunakan semula, saya yakin ia akan dikitar semula atau dilupuskan dengan kaedah yang sempurna,” katanya ketika ditemui di pusat kitar semula berkenaan hari ini.

Program kitar semula bahan fabrik itu adalah anjuran bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

MOHD Fadhil Hassan. GAMBAR OLEH DIN AHMAD

Sementara itu, Yang Dipertua MPAG, Mohd Fadhil Hassan berkata, selain Masjid Sultan Abdullah, tong seumpama itu juga ditempatkan di Masjid Lubok Cina beberapa hari lalu.

“Kami turut dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kloth Cares Life Line Clothing Malaysia (LLCM) dan ia bertujuan membantu komuniti merancang dan mengawal pembuangan sisa fabrik ke tapak pelupusan sampah domestik.

“Tong ditempatkan secara percuma tetapi LLCM akan menyediakan bayaran 10 sen bagi setiap kilogram barangan sisa fabrik yang dikutip kepada pemilik tempat tong itu diletakkan,” katanya.

Sehubungan itu, MPAG dan SWCorp serta LLCM bercadang menyediakan tong seumpama itu di lokasi lain yang menjadi tempat tumpuan anggota komuniti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2057
Kongsi :
Previous post Malang di Bukit Beruang
Next post MH370: Tujuh tahun tanpa jawapan
Ubah saiz-+=