Malang di Bukit Beruang

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

BUKIT BERUANG 7 Mac – Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila terjatuh ketika melakukan aktiviti riadah mendaki di Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Kejadian dikatakan berlaku kira- kira jam 8.30 pagi ketika mangsa berusia 45 tahun terbabit bersama beberapa rakannya mendaki bukit berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Penolong Penguasa Bomba Mohd Hamdan Sudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.36 pagi sebelum sepasukan anggota yang diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Saad Kassim bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba dilokasi iaitu di CP 3 bomba mendapati terdapat seorang lelaki dalam keadaan menahan kesakitan menunggu pasukan penyelamat.

“Akibat terjatuh mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki kanan dan tidak dapat berjalan.

“Difahamkan mangsa naik ke bukit itu bersama tiaga atau empat rakannya sebelum dipercayai terjatuh ketika turun di laluan CP 3,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Hamdan berkata, mangsa yang diberi rawatan awal kemudian dibawa turun menggunakan ‘Skid Strecher’.

“Kemungkinan faktor laluan yang licin akibat cuaca hujan semalam menyebabkan mangsa terjatuh dan usaha membawa turun mangsa juga dilakukan dengan berhati- hati bagi mengelakkan perkara tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata, sebaik tiba di kaki bukit mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

817
Kongsi :
Previous post Koperasi satukan produk kampung – Sulaiman
Next post Pandu 60 kilometer bantu program kitar semula fabrik
Ubah saiz-+=