Pandu Honda Civic edar dadah

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 11 Dis. – Seorang pemandu kereta Honda Civic antara yang ditahan dalam Ops Tapis Khas Bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Negeri Melaka yang diadakan pada 8 hingga 10 Disember lalu.

Ketua JSJ Narkotik Melaka Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, pihaknya bertindak atas maklumat dan risikan sebelum berjaya menahan pemandu terbabit yang dipercayai sedang mengedar dadah jenis syabu sekitar Bukit Baru.

Menurutnya, dalam operasi khas bersepadu yang dilakukan selama tiga hari di seluruh negeri itu, pihaknya berjaya melakukan tangkapan keseluruhan seramai 167 orang yang terdiri daripada 163 lelaki dan empat wanita dalam pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

ZULKIFLEE menunjukkan kereta jenis Honda Civic yang disita dalam Ops Tapis Khas Bersepadu yang dijalankan selama tiga hari.

“Kesemua yang ditangkap berumur dalam lingkungan 18 hingga 68 tahun yang melibatkan 166 warga tempatan dan seorang lelaki warganegara Thailand yang merupakan penagih dadah.

“Kebanyakan mereka bekerja sebagai buruh dan ada juga peniaga dan mereka yang tidak bekerja. Tangkapan paling banyak dilakukan di Daerah Melaka Tengah.

“Daripada operasi tersebut, kita berjaya merampas 144.46 gram syabu, 256.55 gram heroin, 21.25 gram ganja, 225 liter air ketum, 900 gram daun ketum dan 125 kotak rokok seludup,” katanya.

Jelasnya, nilai keseluruhan rampasan tersebut bernilai RM100,000. Selain itu, pihaknya turut menyita sebuah kereta dan enam buah motosikal dianggarkan bernilai RM80,500.

Kesemua tangkapan itu disiasat di bawah pelbagai seksyen antaranya Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Views:

608
Kongsi :
Previous post Melaka mohon peruntukan RM135 juta baik pulih hakisan pantai – Sulaiman
Next post Melaka akan berbincang teruskan bekalan air bersih Negeri Sembilan
Ubah saiz-+=