Pantai Klebang tiba-tiba jadi ‘meriah’

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

KLEBANG, 24 Ogos – Pantai Klebang yang sebelum ini sepi akibat pandemik COVID-19, tiba-tiba menjadi ‘meriah’ dengan kehadiran penduduk sekitar yang datang untuk mencari kepah dan siput disebabkan video yang tular menyatakan terdapat banyak hidupan jenis moluska di pantai tarikan pelancong itu.

Tinjauan Bernama mendapati walaupun pengunjung silih berganti membawa baldi atau beg plastik untuk mencari siput jenis belitung dan lala di sepanjang pantai berkenaan sejak 2 petang tadi, mereka tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal.

Seorang suri rumah, Madihah Zainal, 24, berkata hobinya sejak kecil yang suka mencari siput membuatkan beliau tidak ketinggalan memijak selut dan pasir bagi mencari hidupan laut itu sejak tiga hari lepas.

PANTAI Klebang hari ini tiba-tiba meriah selepas tular video di media sosial mengenai keberadaan hidupan jenis moluska di pantai tarikan pelancong itu, baru-baru ini.

“Pada hari pertama saya datang siput memang banyak, seronok sebab kerang, siput atas darat sahaja, pijak pasir sahaja dah dapat. Saya dapat hampir lima kilogram dan kebanyakannya siput belitung, siput batu dan siput mata kerbau.

“Tetapi hari ini sudah kurang, mungkin sebab ramai yang datang kerana video tular itu. Siput yang ada pun kebanyakannya bersaiz kecil,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Biarpun tidak begitu menggemari menu masakan berasaskan hidupan bercengkerang itu, Madihah berkata ia menjadi satu kepuasan apabila dapat menangkap dan memasak haiwan laut itu untuk ahli keluarganya.

Sementara itu, Airil Firdaus, 39, berkata aktiviti mencari siput di Pantai Klebang itu bukan perkara baharu malah menjadi antara ‘hotspot’ penduduk tempatan mencari hidupan bercengkerang itu sejak dulu lagi.

“Selalunya orang akan datang selepas air surut dan jumlah bergantung kepada nasib dan kepandaian merasa siput yang berlindung di bawah lumpur dengan kaki. Tak perlukan apa-apa peralatan khas pun untuk mencarinya. Dalam tempoh dua jam boleh dapat antara lima hingga lapan kilogram siput kalau bernasib baik,” katanya.

Mengakui agak risau dengan kebanjiran orang ramai yang datang, Airil berharap pengunjung terus mematuhi SOP yang ditetapkan terutama penjarakan fizikal dan beliau sendiri mencari siput di kawasan yang tidak mempunyai ramai orang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1791
Kongsi :
Previous post Banjir melanda Batu Pahat
Next post Tiada ketetapan ibu tidak lengkap dos vaksin tidak dibenarkan bersama bayi
Ubah saiz-+=