Pantai Kundor bakal ada medan ikan bakar

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

PANTAI KUNDOR 1 Jun – Sebuah medan ikan bakar bakal dibangunkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, sekali gus menjadi kawasan tumpuan baharu bagi pelancong yang datang ke negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan itu Tuminah Hashim berkata, pembinaan medan ikan bakar di kawasan itu dilihat sebagai satu keperluan dalam membantu kumpulan nelayan meningkatkan ekonomi mereka.

Beliau berkata, berbanding kawasan lain seperti di Serkam dan Kuala Linggi yang mempunyai medan ikan bakar, DUN Pantai Kundor juga perlu mempunyai sebuah medan khas untuk ikan bakar.

“Saya lihat Pantai Puteri adalah kawasan tumpuan pelancongan hujung minggu jadi kalau kita lihat dengan kehadiran pelancong kenapa kita tidak wujudkan medan ikan bakar sempurna yang boleh membantu meningkatkan pendapatan nelayan.

“Bagi saya ia keperluan, jadi apabila pelancong datang ke Pantai Puteri contohnya, mereka tidak perlu ke tempat lain seperti Serkam, ini memberi keselesaan kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, bagi merealisasikan hasrat itu pihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama Perbadanan Melaka (MCORP) selain turut mengenal dua lokasi yang sesuai dibangunkan medan ikan bakar.

“Saya sudah berbincang dengan MCORP untuk pelaksanaan tujuan ini dan sekarang kita sedang lihat lokasi sesuai kerana ini memerlukan banyak proses terutamanya membabitkan pengambilan tanah.

“Buat masa ini kita kenal pasti dua lokasi iaitu di Pantai Kundor dan satu lagi di sempadan Sungai Lereh. Insyaallah apabila kelak siap ia bakal menjadi ‘hot spot’ baharu pelancong,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1531
Kongsi :
Previous post Restoran, kedai makan perlu lantik kontraktor urus sampah – MBMB
Next post Dari laut terus ke kuali
Ubah saiz-+=