Paras air di Empangan Durian Tunggal naik hampir 10 peratus

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 16 April – Empangan Durian Tunggal merekodkan peningkatan bacaan paras air hampir 10 peratus dalam tempoh seminggu susulan hujan lebat berterusan yang melanda negeri ini.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, berbanding sebelum ini bacaan air di Empangan Durian Tunggal terutamanya berada bawah paras 80 peratus namun susulan taburan hujan diterima berlaku peningkatan agak mendadak.

“Dalam tempoh tujuh hari sebelum tibanya Aidilfitri paras air di Empangan Durian Tunggal berada dibawah 80 peratus namun ianya merekodkan peningkatan hampir 10 peratus susulan daripada taburan hujan yang diterima.

“Ini menjadikan Empangan Durian Tunggal ketika ini berada dalam keadaan sangat baik manakala Empangan Jus berada dalam keadaan normal dan turut dimaklumkan Empangan Asahan turut berada dalam keadaan yang baik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau berkata, meskipun begitu operasi pengepaman air dari Sungai Gerisik, Muar, Johor masih berjalan seperti biasa.

“Proses ini diteruskan bagi memastikan paras air di empangan berada pada tahap memuaskan. Selain itu proses membekalkan air dari Empangan Jus ke Sungai Batang Melaka untuk membantu paras air di loji Gadek juga masih diteruskan dan pada waktu ini ketiga-tiga empangan berada dalam paras normal,” katanya.

Hameed berkata, sebelum ini Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memberi jaminan bekalan air di Melaka mencukupi untuk kegunaan penduduk negeri ini khususnya pada musim perayaan Aidilfitri.

“Ini juga menunjukkan paras empangan tidak termasuk dalam tahap kritikal dan membimbangkan selain hujan berturut-turut dalam tempoh dua hari ini juga dilihat dapat meningkatkan paras air di empangan.

“Namun, dalam masa sama pihak kita terus memantau keadaan dan jangan risau pada Hari Raya nanti tetap ada air,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

226
Kongsi :
Previous post Suburkan hubungan diplomatik Malaysia-China
Next post JKR pantau cerun, jalan laluan dinaiki air
Ubah saiz-+=