Parti politik perlu sedar diri – Noor Effandi

Masa Membaca:2 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 16 Okt. – Sikap ahli politik yang masih tidak sedar diri dan suka berfikir mengikut acuan sendiri menjadikan pentadbiran negara hari ini haru biru.

Mantan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kota Melaka, Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, sikap pentingkan diri membuatkan rakyat menjadi muak dengan dunia politik hari ini.

“Rakyat menganggap tiada kepentingan lagi dunia politik, malah muak, geli dan pelik melihat tindak-tanduk ahli politik.

“Kerajaan hari ini tertubuh kerana Tun Dr. Mahathir Mohamad letak jawatan sebagai Perdana Menteri secara tiba-tiba, maka Yang di-Pertuan Agong memainkan peranan memastikan kerajaannya mempunyai ketua pengurusnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, majoriti Ahli Parlimen setuju Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan tiada syarat, gesaan dan berlapang dada untuk bekerjasama.

“Perdana Menteri ke-8 itu memberitahu satu Malaysia bahawa kabinetnya akan dianggotai mereka yang bersih dan bebas daripada apa jua pertuduhan.

“Dalam satu kumpulan yang baharu, sudah pasti tiada parti yang akan dapat semua dan tiada juga yang akan rugi semuanya. Ada negeri UMNO kuasai banyak perkara dan ada negeri PAS, Bersatu ataupun Gabungan Parti Sarawak (GPS) kuasai banyak perkara,” katanya.

Katanya, di Melaka Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ‘runtuh’ apabila Bersatu keluar daripada gabungan itu sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), BN dengan 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO tidak dapat mengekalkan kuasa apabila PH mendapat 15 kerusi (8 DAP, 3 PKR, 2 Bersatu dan 2 Amanah).

“Apabila Bersatu dengan pengumuman Presidennya Tan Sri Muhyiddin keluar PH, maka dua ADUN Bersatu menjadi asbab kepada pertukaran Kerajaan Melaka, 2 tambah 13 ADUN UMNO maka jadilah majoriti mudah untuk perubahan sebelum seorang ADUN PKR dan DAP menyertainya.

“Di Melaka dua ADUN Bersatu membantu untuk kerajaan berubah, Ketua Menteri diterima daripada UMNO dan semua Penyelaras di 11 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bersama PH juga dipegang wakil UMNO.

“Sekitar 90 peratus pemegang jawatan utama di GLC mahupun agensi milik Kerajaan Melaka juga dipegang wakil UMNO, berbanding zaman PH dahulu setiap parti mendapat sekitar 25 peratus pembahagian jawatan,” katanya lagi.

Ujarnya, kerana kerajaan berubah, Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu dipilih sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) lantikan DUN Melaka dengan sokongan 17 daripada 28 ahli Dewan iaitu 13 ADUN UMNO, dua Bersatu dan dua lagi Bebas ketika itu.

“Tetapi kita di Melaka terima seadanya kerana inilah yang dikatakan perkongsian kuasa dan berlapang dada.

“PAS juga berlapang dada dan terus bersama membantu demi negeri tercinta. Tiga parti ini sekarang adalah saudara di dalam Muafakat Nasional,” katanya.

Tambahnya lagi, walapun berbeza jumlah parti di setiap negeri, namun kedamaian dalam bekerjasama dan sikap sedar diri berkongsi kuasa penting dalam diri masing-masing.

“Apa yang dimiliki ini juga kerana bantuan, pengorbanan dan sikap beralah sahabat. Kita kena sedar diri bahawa sentimen dan suara rakyat kini sudah tidak sama dengan 20 atau 30 tahun dahulu.

“Ayuh kita ketepikan politik berlebihan, ini masa untuk Malaysia menang melawan COVID-19 dan kekuatan ekonomi negara wajib diutamakan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Views:

885
Kongsi :
Previous post Tumpahan minyak: Air pasang mudahkan ‘absorbent boom’ perangkap sisa minyak
Next post COVID-19: Alor Gajah rekodkan tiga kes
Ubah saiz-+=