Tumpahan minyak: Air pasang mudahkan ‘absorbent boom’ perangkap sisa minyak

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

TANJUNG TUAN 16 Okt. – Kerja-kerja pemasangan perangkap minyak (absorbent boom) giat dijalankan sebaik pembersihan sampah hanyut dilaksanakan sekitar hutan paya bakau di Pantai Cermin, Port Dickson, di sini, pagi tadi.

Kerja-kerja terbabit perlu dilaksanakan sebaik air laut mulai surut sekitar jam 11 pagi tadi bagi memastikan pengaliran minyak terperangkap mudah dilaksanakan.

Tinjauan mendapati, hampir 100 petugas terdiri dari 17 agensi kerajaan dan swasta yang turut disertai sukarelawan membantu kerja-kerja pemasangan dalam operasi pembersihan di sekitar lokasi itu.

Dimaklumkan, kerja-kerja pembersihan perlu dilaksanakan terdahulu berikutan terdapat timbunan sampah plastik hanyut terperangkap di celahan akar pokok bakau.

Perkara terbabit dipercayai akan mengakibatkan lebih banyak minyak yang terperangkap di timbunan sampah tidak dapat diselamatkan sekiranya ia tidak dibersihkan.

Menurut jurucakap Jabatan Laut Malaysia Melaka (JLM) Melaka, kira-kira 120 meter ‘absorbent boom’ telah dipasang mengelilingi pesisiran pantai terutama di sekitar kawasan paya bakau terbabit bagi memastikan minyak terbabit benar-benar diserap menggunakan alat perangkap minyak itu.

Bagaimanapun katanya, kesemua kerja pemulihan pencemaran minyak itu akan dimulakan kembali sejurus air surut bagi memudahkan pengairan berlaku di kawasan terjejas.

“Apabila air mula pasang, minyak yang terperangkap di darat akan menghala kembali ke laut dan ketika itulah absorbent boom akan menyerap sisa tumpahan minyak itu.

“Dan sebab itulah alat ini perlu dipasang di pesisir pantai bagi memudahkan aliran minyak ketika air mulai pasang,”katanya.

Operasi pembersihan pantai giat dilaksanakan sejak jam 9 pagi tadi dan sedang menantikan cuaca air pasang laut bagi kerja-kerja selanjutnya.

Difahamkan, jangkaan air pasang besar akan berlaku bermula hari ini dan berkemungkinan memudahkan kerja pembersihan terbabit.

Views:

1577
Kongsi :
Previous post Hitam, berbau dan mati
Next post Parti politik perlu sedar diri – Noor Effandi
Ubah saiz-+=