Hitam, berbau dan mati

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

TANJUNG TUAN 16 Okt. – Sebaik menjejakkan kaki di Pantai Cermin, Port Dickson dan Tanjung Tuan, Melaka, bau minyak hitam begitu kuat, tidak seperti kelaziman menghirup udara segar di pantai yang terbentang luas.

Panorama biru yang diharapkan, bertukar gelap, hitam pekat yang begitu menyakitkan mata.

Insiden tumpahan minyak yang mencemari sempadan dua negeri, Melaka dan Negeri Sembilan sejak lima hari lalu bukan sahaja memberi kesan besar kepada alam sekitar, bahkan kehidupan seharian penduduk.

Tinjauan Melaka Hari Ini di lokasi pinggir negeri itu mendapati kawasan paya bakau adalah yang paling teruk dicemari tumpahan minyak.

INSIDEN tumpahan minyak hitam yang menyaksikan kawasan pokok bakau di perairan Tanjung Tuan, Port Dickson berwarna hitam.

Itu kesan yang dapat dilihat mata kasar, di sebalik akar kayu, kesan hitam daripada minyak bercampur selut sehingga sukar untuk membezakan kedua-duanya.

Menyedihkan apabila kami turut menemukan pelbagai spesis hidupan laut, antaranya udang kara yang mati akibat pencemaran terbabit.

Tidak cukup dengan itu, persekitaran turut dicemari dengan timbunan sampah hanyut, kebanyakkannya plastik terbuang yang terperangkap di celahan akar pokok bakau.

Di satu sudut, kami terlihat beberapa petugas dari seluruh agensi dan jabatan termasuk sukarelawan mula berkumpul di lokasi terbabit untuk melakukan kerja-kerja pembersihan pantai mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

ANTARA hidupan laut yang ditemui mati di perairan Tanjung Tuan, Port Dickson.

Kami dimaklumkan kerja-kerja pengumpulan sampah hanyut terutama di kawasan paya bakau perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum membersihkan kesan minyak yang terperangkap.

Bayangkan, sudah memasuki hari kelima, puluhan malah mungkin ratusan petugas daripada sekurang-kurangnya 15 agensi terpaksa menjadi ‘mangsa’ perbuatan tidak bertanggungjawab si pelaku yang masih bebas.

Justeru, amatlah wajar sekiranya pihak berkuasa mempercepatkan proses siasatan yang bukan hanya bersifat ayat ‘penyedap hati’ kepada rakyat yang tentunya tidak sabar melihat pesalah diheret ke muka pengadilan.

Views:

669
Kongsi :
Previous post Bunyi letupan beberapa kali – Nor Lenny
Next post Tumpahan minyak: Air pasang mudahkan ‘absorbent boom’ perangkap sisa minyak
Ubah saiz-+=