Pasar malam ‘Ley Park Station’ dibuka Disember depan

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 17 Okt. – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) bakal mewujudkan pasar malam baharu dikenali sebagai ‘Ley Park Station’ di Dataran Sejarah Ayer Keroh pada Disember depan.

Yang Dipertuanya, Datuk Shadan Othman berkata konsep pasar malam Ley Park Station seakan Jonker Walk itu dibuka pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

“Kita nak jadikan Dataran ini seperti Jonker Walk. Insya-Allah pada Disember ini kita wujudkannya khusus untuk orang ramai membeli-belah.

“Ini sekali gus memberi peluang kepada lebih 100 peniaga-peniaga kecil di negeri ini untuk mempromosikan produk mereka.

“Sekarang kita dalam proses untuk melantik pengusaha untuk mengendalikan Ley Park Station di dataran tersebut,” katanya.

KAMEL (tiga dari kanan) dan Shadan (baju putih) mengutip sampah di Dataran Sejarah pada Op Gempur tersebut.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Op Gerak Gempur Pembersihan Kawasan Ayer Keroh di Dataran Sejarah, hari ini.

Jelas Shadan, pasar malam baharu itu akan beroperasi dari 6 petang hingga 11 malam.

“Pengunjung boleh masuk dalam 500 orang, saya percaya adanya pasar malam baharu ini menjadikan kawasan Ayer Keroh lebih ceria di waktu malam.

“Pada masa sama kita juga sedang menaiktaraf tasik Ayer Keroh ini dengan mengadakan aktiviti air seperti paddle bot yang tidak melibatkan pencemaran air.

“Kita boleh lihat pada sebelah petang dan malam aktiviti kurang di sini sedangkan masyarakat ramai, jadi kita akan adakan aktiviti dalam masa terdekat ini sebelum Disember,” katanya.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2285
Kongsi :
Previous post Ramalan cuaca hari ini di Melaka
Next post Operasi sekolah di Melaka, Selangor, KL, Putrajaya ikut ketetapan fasa 4 PPN
Ubah saiz-+=